Monday, December 2, 2013

Hafifi, Faiz jadi sandaran utama PABM

Kuala Lumpur: Mohd Hafifi Mansor serta Mohd Faiz Musa menjadi sandaran utama Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk cuba memburu sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Sukan SEA Myanmar bermula 11 Disember ini.

PABM sebelum ini meluahkan rasa kecewa kerana penganjur tidak mempertandingkan kategori lebih berat pada temasya kali ini sekali gus menjejaskan harapan skuad negara menuai emas.

Justeru Timbalan Presiden PABM Ahmad Janius Abdullah berkata, sekiranya Hafifi mahupun Hafiz mampu menyumbang emas kepada kontinjen negara, ia sudah satu kejayaan yang amat membanggakan.

“Terus terang kami katakan tidak menyasarkan pingat emas untuk temasya kali ini kerana seperti yang pernah kami luahkan sebelum ini, keputusan penganjur tidak mempertandingkan kategori berat, memadamkan harapan kami.

“Tapi kami lihat Hafifi dan Faiz yang juga dua atlet terbaik negara ketika ini, berpotensi untuk memberikan emas kepada kontinjen negara.

“Apapun, kami yakin dapat meraih pingat tapi untuk menukarnya kepada warna emas, itu terpulang kepada kegigihan setiap atlet negara termasuk Hafifi dan Faiz,” katanya.

FotoHAFIFI (kiri) gigih berlatih bersama jurulatihnya, Stefan Stefanov.
Pada saingan di Yangon, Hafifi akan beraksi menerusi kategori 69 kilogram sementara Faiz 94 kilogram.

Selain Hafifi dan Faiz, PABM turut menyenaraikan tujuh lagi atlet angkat berat negara untuk bersaing di Myanmar.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment