Wednesday, November 20, 2013

Sasar 3 emas: karate

Kuala Lumpur: Meskipun dilihat menjadi lubuk emas untuk kontinjen Malaysia, skuad karate negara mengambil langkah selamat dengan sekadar meletakkan sasaran awal tiga pingat emas pada temasya Sukan SEA Myanmar bulan depan.

Bukan awal-awal menyerah kalah, penolong jurulatih R Puvaneswaran berkata, ia adalah sasaran realistik selain tidak mahu memberi tekanan kepada anak buahnya.

“Memang kami meletakkan sasaran rendah terlebih dulu kerana tidak mahu atlet terlalu berasa tertekan untuk meraih pingat.

“Sebenarnya saya yakin barisan atlet karate kita, tidak kira senior atau pun muka baru mampu meraih pingat emas, malah mungkin lebih daripada jangkauan tiga emas.

“Asalkan saja mereka mampu mengatasi tekanan, saya yakin pingat emas mampu dimenangi,” katanya.

Jelas bekas atlet negara itu, tekanan pada saingan Sukan SEA jelas begitu berbeza dengan kejohanan lain yang disertai skuad negara.

“Sukan SEA sentiasa menjadi tumpuan baik bagi pihak media dan pengurusan atasan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kerana tumpuan inilah kadangkala ia memberi impak positif dan negatif kepada atlet kita sehingga menyaksikan ada atlet yang disandarkan pingat emas tersingkir seawal pusingan pertama.

“Tapi bagi atlet yang mampu mengatasi segala tekanan, mereka pasti akan dapat meraih emas.

“Sebab itu kami tidak mahu memberi terlalu banyak tekanan kepada atlet negara walaupun tahu kemampuan sebenar mereka,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment