Thursday, September 5, 2013

Rayzam layak Sukan SEA


Kuala Lumpur: Selepas mencetuskan kontroversi apabila membidas tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang tidak mahu menghantar atlet atas tiket kategori B ke temasya Sukan SEA Myanmar Disember ini, jaguh 110m lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian membuktikan dirinya layak beraksi ke temasya dwi tahunan itu.

Beraksi di Terbuka Thailand yang membuka tirai kejohanan kelmarin, atlet Sabah itu menggunakan kesempatan yang diberikan untuk membuktikan kemampuan apabila menjadi atlet pertama di saingan itu melepasi syarat kelayakan secara merit ke Sukan SEA dengan catatan 13.86s.

Kejayaan Rayzam itu menjadikan dia atlet olahraga ke-12 melepasi syarat kelayakan seterusnya membolehkannya menarik nafas lega apabila tidak lagi perlu bertegang urat meminta KOM menghantarnya atas kategori B seandainya gagal melepasi syarat kelayakan.
Mengulas kejayaan Rayzam, Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad melahirkan rasa gembira apabila adanya pertambahan atlet yang melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA. “Alhamdulillah. Dia berjaya membuat catatan terbaik. Mereka bangun dan berusaha untuk melepasi syarat kelayakan masing-masing.

“Jumaat lalu sebelum mereka berlepas ke Thailand, saya berjumpa dengan semua atlet untuk cuba menaikkan semangat agar terus fokus memberikan aksi terbaik dan dan berusaha memperbaiki catatan terbaik. Alhamdulillah sekurang-kurangnya mereka mengambilnya sebagai satu cabaran,” katanya.

Pelari berusia 25 tahun dari Sabah itu berpeluang cerah merampas pingat emas yang terlepas daripada genggamannya dua tahun lalu apabila tewas kepada jaguh Thailand, Lac Jamras Rittidet yang kini bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Rayzam sebelum ini tewas kepada Jamras dalam tiga pertemuan i dengan catatan terbaik Rayzam musim ini 13.96s yang dilakar di Grand Prix Asia di Sri Lanka tahun lalu manakala Jamras merekodkan 13.77s ketika melakarkan rekod Sukan SEA tahun lalu bagaimanapun Jamras tewas kepada Rayzam pada Kejohanan Dunia di Moscow bulan lalu.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment