Friday, May 17, 2013

Pilih yang terbaik ke Sukan SEA

KOK CHI mengingatkan persatuan sukan kebangsaan agar menyenaraikan atlet terbaik sahaja menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan memperketatkan pemilihan atlet ke Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dipilih bagi membawa cabaran negara pada temasya sukan dwitahunan itu.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, semua persatuan sukan terbabit perlu mematuhi dua syarat yang ditetapkan sebelum mengemukakan nama atlet masing-masing untuk dipilih menyertai kontinjen negara.

Dua syarat itu, katanya, setiap persatuan sukan perlu menganjurkan sekurang-kurangnya satu kejohanan peringkat kebangsaan, selain perlu mempunyai program latihan tersusun serta dipantau sama ada mereka sendiri, MOM atau Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kalau mereka tidak ada (menganjurkan) kejohanan kebangsaan, bagaimana nak bertanding di peringkat lebih tinggi (di Sukan SEA)? Kita tidak mahu atlet pergi seperti pelancong atau semata-semata menyokong badan sukan (serantau) masing-masing,” katanya semalam.

Kok Chi turut menjelaskan bahawa jumlah penyertaan atlet Malaysia ke temasya sukan itu dijangka ditentukan pada Julai ini, selepas persatuan sukan menyerahkan senarai nama atlet masing-masing.
Katanya, kontinjen negara dijangka menghantar kira-kira 900 atlet dan pegawai ke temasya tersebut yang akan berlangsung di Nay Pyi Taw, Yangon dan sekitar Mandalay serta Pantai Ngwe Saung pada 11 hingga 22 Disember.

Sejumlah 33 acara dipertandingkan termasuk olahraga, akuatik, memanah, bola keranjang, badminton, tinju, bina badan, kenu, ekuestrian, bola sepak dan Muay Thai.
Selain itu, penganjur Sukan SEA Myanmar turut mempertandingkan beberapa sukan tradisional seperti kempo, vovinam dan perlumbaan bot tradisional.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata, MOM kekal dengan keputusan sebelum ini bahawa atlet yang dipilih dalam kategori A akan dibiayai sepenuhnya oleh MOM dan MSN manakala atlet kategori B, persatuan perlu menanggung perbelanjaan sendiri.

Mengikut rekod, MOM akan bayar semula semua perbelanjaan jika mereka berjaya membawa pulang pingat emas atau sebahagian daripada kos perbelanjaan sekiranya mendapat pingat perak.

Justeru, beliau menasihatkan persatuan sukan supaya membuat perancangan awal dengan menyediakan peruntukan bagi membiayai atlet masing-masing, jika atlet terbabit diletakkan dalam kategori B.

Kok Chi sekali lagi menegaskan bahawa MOM tidak akan berlembut kali ini dengan mendahulukan wang kerana MOM sudah serik apabila persatuan sukan terbabit tidak membayarnya semula selepas atlet mereka gagal menyumbangkan pingat. – Bernama

No comments:

Post a Comment