Friday, June 21, 2013

Keselamatan Malaysia terjamin

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi jaminan bahawa tuan rumah Sukan SEA 2013, Myanmar akan meningkatkan kawalan keselamatan terhadap kontinjen-kontinjen negara bertanding terutama Malaysia.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar menjelaskan, sebagai negara penganjur, Myanmar sudah pasti akan berpegang kepada komitmennya dalam memastikan keselamatan para atlet dan pegawai dari kesemua 11 kontinjen demi menjaga imej mereka.

Jelas Tunku Imran, kelemahan dalam segi keselamatan bagi kerajaan pemerintah negara tersebut yang sedang berdepan dengan pergolakan etnik Rohingya dan penganut Buddha itu sudah pasti akan menjejaskan sektor pelancongan, sekali gus memburukkan lagi ekonomi mereka.

“Saya rasa kerajaan Myanmar akan memastikan keselamatan para atlet dan pegawai negara yang akan bertanding di Naypyitaw nanti adalah terkawal,” jelas Tunku Imran baru-baru ini.

“Mereka sudah tentu mahu menjaga imej negara mereka. Jika pergolakan itu tidak dapat dikawal dan melarat ke semua gelanggang temasya Sukan SEA nanti, ia pasti akan membuatkan para pelancong takut ke negara mereka, sekali gus memberi tamparan hebat dalam segi sektor pelancongan.

“Jadi saya rasa isu keselamatan atlet dan pegawai kontinjen kita adalah terjamin di sana dan mereka tidak perlu berasa bimbang, sebaliknya fokus kepada tugas dan peranan masing-masing.”

Ketika ditanya sama ada kontinjen negara perlu diiringi dengan anggota keselamatan dari Malaysia seperti pada Sukan Komanwel 2012 di New Delhi, Tunku Imran menegaskan ia tidak diperlukan buat masa ini.

“Kita pernah menggunakan khidmat anggota keselamatan kita sendiri pada Sukan Komanwel di New Delhi dan itu pun atas permintaan atlet dan para pegawai.

“Namun, situasinya berbeza kali ini kerana saya yakin kerajaan Myanmar dapat mengawal krisis pergolakan di negara mereka daripada melarat ke gelanggang-gelanggang pertandingan.
“Jadi saya rasa kita tidak perlu menghantar anggota keselamatan sebagai pengiring sekali lagi,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan bahawa Myanmar bersetuju menyediakan satu penerbangan khas untuk kontinjen negara dari Kuala Lumpur terus ke Naypyitaw, yang juga pusat pentadbiran Myanmar dengan menggunakan Myanmar Airlines.
“Jaminan itu diberikan oleh pihak penganjur Sukan SEA kepada kita menerusi sepucuk surat baru-baru ini,” kata Kok Chi.

“Dengan kemudahan penerbangan khas itu, anggota kontinjen negara tidak perlu bermalam di Yangon sebelum menyambung perjalanan ke Naypyitaw dengan penerbangan domestik.

“Beberapa persatuan sukan kebangsaan dan media tempatan yang sudah melakukan tinjauan awal sebelum ini juga memberi maklum balas positif kepada kita mengenai keadaan keselamatan di negara itu.”

Temasya Sukan SEA 2013 bakal berlangsung dari 11 hingga 22 Disember depan.

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment