Friday, May 17, 2013

Syarat ketat!

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperketatkan pemilihan atlet ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak membawa cabaran negara pada temasya diwtahunan itu.
Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata, persatuan sukan terbabit perlu mematuhi dua syarat ditetapkan badan induk sukan itu, sebelum mengemukakan nama atlet masing-masing untuk dipilih.

Dua syarat itu, katanya, setiap persatuan sukan perlu menganjurkan sekurang-kurangnya satu kejohanan peringkat kebangsaan, selain perlu mempunyai program latihan tersusun serta dipantau sama ada mereka sendiri, MOM atau Majlis Sukan Negara (MSN).
“Kalau mereka tidak menganjurkan kejohanan kebangsaan, bagaimana nak bertanding di peringkat lebih tinggi? Kita tidak mahu atlet pergi seperti pelancong atau semata-semata menyokong badan sukan (serantau) masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kok Chi berkata, jumlah penyertaan atlet Malaysia ke temasya itu dijangka ditentukan Julai ini, selepas persatuan sukan menyerahkan senarai atlet masing-masing.

Katanya kontinjen negara dijangka menghantar kira-kira 900 atlet dan pegawai ke temasya itu yang berlangsung di Nay Pyi Taw, Yangon dan sekitar Mandalay serta Pantai Ngwe Saung dari 11 hingga 22 Disember.
Sejumlah 33 acara dipertandingkan termasuk olahraga, akuatik, memanah, bola keranjang, badminton, tinju, bina badan, kenu, ekuestrian, bolasepak dan Muay Thai.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata, MOM kekal dengan keputusan atlet yang dipilih dalam kategori A akan dibiayai sepenuhnya oleh MOM dan MSN manakala persatuan perlu menanggung perbelanjaan atlet kategori B.
Beliau menegaskan, MOM tidak akan berlembut kali ini dengan mendahulukan wang badan induk sukan itu kerana serik apabila persatuan sukan terbabit tidak membayarnya semula selepas atlet mereka gagal menyumbangkan pingat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment