Tuesday, November 1, 2011

Tutup 2011 dengan cemerlang


Zolkples Embong bersalaman dengan atlet-atlet negara yang akan ke Sukan SEA 2011 pada perhimpunan dekat Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed


PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengharapkan kontinjen negara dapat meraih kejayaan yang cemerlang di Sukan SEA Indonesia 2011 sebagai penutup kalendar sukan negara.

Menurut Zolkples, selepas mempamerkan aksi cemerlang pada edisi sebelum ini, 2005 (Manila), 2007 (Korat) dan 2009 (Vientiane), tidak mustahil buat atlet negara untuk mengulangi perkara yang sama di Indonesia yang akan bermula dari 11 hingga 22 November ini.

"Sudah tentu kita akan meraih banyak pingat daripada beberapa jenis sukan yang menjadi keutamaan. Bagaimanapun kita tidak akan memandang rendah keupayaan beberapa sukan lain yang bakal dikuasai oleh negara tuan rumah," katanya berucap merasmikan perhimpunan atlet Sukan SEA Indonesia 2011 di sini, semalam.

Jelas Zolkples, walaupun kelebihan bakal memihak negara tuan rumah tetapi atlet negara sudah pasti mempunyai semangat juang yang tinggi bagi membuktikan Malaysia mampu memberi cabaran.
"Kita tetap mengharapkan atlet daripada sukan subjektif untuk menyinar seperti mana yang dilakukan oleh atlet silat yang meraih empat emas di Laos selepas pulang dengan tangan kosong di Korat. Begitu juga dalam acara tinju apabila kita berjaya meraih dua emas dua tahun lepas.

"Kejayaan bakal dilengkapkan dengan persembahan cemerlang atlet dari sukan yang akan dikuasai oleh Malaysia seperti terjun, di mana mereka ke sana bukan sahaja meraih pingat emas tetapi dalam masa yang sama memperbaiki prestasi peribadi," katanya.

Menurut beliau, sokongan tinggi daripada semua pihak bakal membantu kontinjen negara untuk mempamer persembahan cemerlang di Jakarta dan Palembang.
"Kalau boleh kita mahu Jalur Gemilang dikibar dan lagu Negaraku berkumandang sebanyak mana yang mungkin di Indonesia nanti. Jadi di saat-saat akhir ini saya mahu semua atlet bersedia dan sentiasa berhati-hati agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Perhimpunan selama lima hari di sini amat penting buat semua atlet mempersiapkan diri dan merapatkan silaturahim dengan berpegang teguh kepada semangat sepasukan tidak kira dalam acara apa dan kategori apa mereka akan bertanding," katanya.
Sebanyak 608 atlet negara akan mengambil bahagian di Sukan SEA edisi ke-26 dalam 38 acara sukan.



Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment