Monday, November 21, 2011

'Tiada maaf bagi mu, PSM'

Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya: Ahmad Shabery

'DOSA' yang dilakukan sepak takraw pada temasya kali ini pasti sukar 'diampunkan'.
Itulah isyarat yang diberi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam yang memberi bayangan peruntukan yang akan disalurkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mungkin dipotong.
“Saya tidak mempunyai kapasiti untuk meminta pemimpin PSM meletak jawatan, tetapi mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kemerosotan sukan itu.

“Mengapa begitu merosot dan kajian perlu dijalankan. Kita juga akan mengkaji sama ada wajar kita perlu menambah atau mengurangkan peruntukan sedangkan prestasi mereka semakin merudum.

“Kajian ini juga bukan membabitkan sepak takraw, tetapi semua sukan yang gagal menyerlah selepas berakhir temasya ini,” katanya.

Skuad sepak takraw yang mendapat khidmat dua perunding dari Thailand bagi menghadapi temasya kali ini gagal menyerlah apabila tewas kepada tuan rumah, Indonesia dalam acara regu dan berpasukan.
Kekalahan itu gagal menepati sasaran Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail yang sebelum ini mensasarkan skuad negara mampu memenangi sebutir emas.

Malah, Ahmad sebelum ini berjanji untuk meletak jawatan selepas kegagalan di Sukan Asia 2010, tetapi menarik balik janjinya itu dengan alasan yang sudah dijangka iaitu Majlis PSM menolak peletakan jawatannya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment