Monday, November 21, 2011

Misi 60 emas mungkin sukar

JAKARTA - Sasaran 60 pingat emas yang ditukar pada saat akhir mungkin sukar dicapai ketika Sukan SEA XXVI tinggal dua hari untuk ditutup, namun tambahan beberapa emas mungkin masih boleh berlaku selepas kontinjen negara mencatat angka 52 dengan menokok enam emas di hari ke-10, semalam. 

Renang berirama menyapu bersih empat emas yang ditawarkan setakat ini dengan mendominasi acara duet rutin bebas menerusi Pnh Hui Chuen dan Katrina Ann, selain menggunguli saingan berpasukan rutin bebas.
Wusyu pula melengkapkan emas keempat mereka semalam apabila menokok dua lagi menerusi Tai Cheau Xuen dalam kombinasi Nandao dan Nan Gun wanita, manakala Kevan Cheah Nandao + Nan Gun lelaki.

Boling menamatkan kempen selaku juara keseluruhan selepas Adrian Ang menghadirkan emas kelima negara dalam acara prestij Masters lelaki, yang menyaksikan Muhd. Syafiq Rihdwan Abdul Malek meraih gangsa.
Hasrat basikal untuk menambah dua lagi emas tertangguh selepas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa terpaksa menunggu untuk memburu emas keduanya dalam scratch 5 kilometer apabila perlumbaan ditangguh akibat hujan.

Bagaimanapun Malaysia meneruskan penguasaan dalam acara berpasukan lelaki kejar mengejar 4,000 meter di velodrom Rawamangun di sini, semalam.

Kuartet Mohd. Harrif Salleh, Mohamad Akmal Amrun, Mohd Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli membuktikan keunggulan mereka apabila menewaskan pesaing dari Indonesia pada aksi akhir, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
Mereka mencatat masa 4:36.322 untuk meraih emas ketiga Malaysia dalam basikal trek, sementara Indonesia ketinggalan di belakang dengan masa 4:51.404 bagi memenangi perak. Filipina dengan masa 4:45.900 meraih gangsa.

Kemenangan tersebut merupakan pencapaian membanggakan terutamanya buat Harrif yang memenangi emas keduanya selepas menjuarai acara perlumbaan scratch 10km, kelmarin.
"Sukar saya hendak luahkan dengan kata-kata. Kami telah memberikan yang terbaik, hari ini (semalam) meskipun terpaksa berhadapan dengan ejekan dan cemuhan daripada penyokong tuan rumah, tetapi kami berjaya mengawal emosi kami," kata Harrif.

Hari ini renang berirama menawarkan emas terakhir di kolam renang, basikal mengharapkan Fateha meraih emas kedua, manakala tumpuan juga kepada tinju yang menampilkan Muhammad Farkhan.


Utusan

No comments:

Post a Comment