Tuesday, November 15, 2011

Terjunan emas di Palembang


KEN NEE (kanan) dan Bryan menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki semalam.


PALEMBANG - Atlet terjun Malaysia mempamerkan penguasaan mereka di Pusat Akuatik Jakabaring selepas memenangi pingat emas ketiga semalam.

Dalam acara 10m platform berirama wanita, Leong Mun Yee dan Traisy Vivien Tukiet mempamerkan aksi yang memberangsangkan untuk memenangi pingat emas selepas mengumpul 306.66 mata selepas lima terjunan.

Pasangan Indonesia, Sari Ambarwati dan Dinasari Harimurti memenangi pingat perak (268.62 mata) manakala gangsa pula diraih gandingan Myanmar, Sandar Nyut Soe dan Mar Hnin Hay (155.73 mata)
"Sungguhpun tiada cabaran sengit buat kami di sini namun kami memberi persembahan 100 peratus. Kami tidak memandang rendah kepada pesaing lain tetapi kami masih memperbaiki skil kami," kata Mun Yee.
Mun Yee berkata, dia dan Traisy Vivien melakukan tahap kesukaran yang lebih tinggi dalam acara hari ini.
Pingat emas itu adalah yang kedua buat Mun Yee selepas memenangi 3m papan anjal seirama wanita kelmarin, berpasangan dengan Ng Yan Yee.

Traisy Vivien pula menyifatkan pingat emas itu sebagai satu pencapaian buat dirinya lebih-lebih lagi ini merupakan kemunculan kedua beliau dalam Sukan SEA.

"Dalam Sukan SEA sebelum ini di Laos, saya hanya menang pingat gangsa dalam acara 10m platform individu. Saya ingin mendedikasikan pingat emas ini kepada ibu bapa saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.

"Ibu bapa saya tidak membenarkan saya berhenti daripada acara ini dan mahu saya berjaya seperti Bryan (Nickson Lomas)," kata Traisy.

Traisy akan menumpukan perhatian kepada acara individu yang dijadual pada Rabu.
Sementara itu, berbekalkan reputasi sebagai penerjun berkelas Olimpik, Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee jelas tiada masalah besar untuk mengetepikan saingan daripada penerjun Filipina (kedua) dan Indonesia (ketiga).

Mereka mengumpul keseluruhan 392.31 mata mengungguli acara 3m papan anjal seirama lelaki.
"Saingan tidak begitu kuat daripada pencabar lain. Jadi kami agak relaks hari ini (semalam) dan akan mencuba untuk meraih lebih banyak emas selepas ini," kata Bryan.


KOSMO

No comments:

Post a Comment