Tuesday, November 8, 2011

Malaysia sasar 40-45 emas


Ahmad Shebery Cheek (tengah) bersama kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Indonesia 2011 pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Noor Asrekuzairey Salim


PUTRAJAYA - Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih sebanyak 40 hingga 45 pingat emas pada Sukan SEA Indonesia 2011 yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 11 November ini.
Sasaran tersebut dianggap realistik setelah mengambil kira pencapaian semasa atlet kebangsaan dan negara-negara peserta.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengumumkan sasaran itu berkata, jumlah tersebut menjadi sasaran setelah mengambil kira acara-acara yang dipertandingkan oleh tuan rumah pada temasya dwitahunan itu.

"Kita perlu bersikap realistik kerana pertandingan seperti Sukan SEA, setiap negara yang menjadi tuan rumah pasti mahu mengutip pingat sebanyak mungkin dengan menyenaraikan acara yang berpihak kepada mereka.
"Jadi, sasaran 40 hingga 45 emas itu bagi saya boleh diterima sekali pun bilangan acara yang dipertandingkan di Indonesia agak besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada penembak kebangsaan, Nur Suryani Taibi yang merupakan pembawa bendera kontinjen negara di sini, semalam.
Menurut Ahmad Shabery, acara sukan yang bersifat subjektif seperti sukan layar, silat, karate, wusyu dan ski air sukar untuk diramal peluang dan ia amat bergantung kepada pencapaian pada hari pertandingan.
"Malah, untuk acara wusyu kita juga beraksi tanpa kelibat pemenang emas kejuaraan dunia, Chai Fong Ying yang mana kita tidak mahu dia menjadi korban kepada sistem itu sendiri," tegasnya.

Jelasnya, sebagai tuan rumah, Indonesia turut menyenaraikan acara-acara yang jarang didengar seperti sukan kempo, paragliding, panjat tembok (wall climbing) dan sukan renang di laut terbuka.
Tambah beliau, antara acara yang berpotensi untuk membutirkan kilauan emas buat Malaysia ialah terjun, renang, renang berirama, basikal trek, memanah, menembak, olahraga dan tenpin boling.
Beliau memberitahu, sasaran kali ini lebih tinggi berbanding Sukan SEA di Laos, dua tahun lalu yang mana pada ketika itu kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 40 emas berbanding 30 hingga 35 emas yang ditetapkan.

Selain itu, Ahmad Shabery berkata, kehilangan atlet karate, Mohd. Hatta Mahmut akibat kecederaan dan Daniel Bego serta Lee Hup Wei yang belum dipastikan tahap kecergasan mereka turut membataskan peluang Malaysia meraih pingat.

"Acara yang selama ini menjadi lubuk emas seperti hoki, skuasy dan boling padang juga tidak dipertandingkan di Indonesia dan ini menyekat usaha untuk meraih lebih banyak pingat emas," katanya.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong pula melahirkan keyakinan jumlah 44 pingat emas mampu berada dalam genggaman atlet negara.



Oleh AIZAWATI AHMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment