Tuesday, November 22, 2011

Malaysia kini diiktiraf 'Raja Bola ASEAN'

JAKARTA: Kejayaan skuad bawah 23 tahun Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia malam tadi membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini.

Mereka juga membuktikan kejayaan meraih emas bola sepak pada Sukan SEA 2009 di Laos dan menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) tahun lalu, bukanlah kerana nasib semata-mata.
Biarpun persembahan pasukan Malaysia sebelum ini dipertikaikan terutamanya oleh media Indonesia, kemenangan malam tadi menutup terus mulut pengkritik dan penyokong fanatik skuad negara tuan rumah itu.
Media di Indonesia kini mengakui Malaysia adalah "Raja Bola Sepak ASEAN".

Dalam perlawanan akhir malam tadi di depan 100,000 penonton tuan rumah, Malaysia menundukkan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Bagi jurulatih negara, Ong Kim Swee, selepas dua kali menumpaskan Indonesia di laman mereka sendiri, kemenangan Harimau Muda itu adalah kemenangan mutlak dan bukannya nasib semata-mata.

Di perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Malaysia menumpaskan Indonesia 1-0 dan malam tadi, sekali lagi skuad Garuda Muda ditundukkan Harimau Muda, di gelanggang keramat mereka, Stadium Gelora Bung Karno.
Menurut jurulatih berasal dari Melaka itu, perlawanan malam tadi mungkin tidak akan berlanjutan ke masa tambahan atau ditentukan melalui sepakan penalti sekiranya tiga tonggak utama Harimau Muda, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Syahrul Azwari Ibrahim dan Izzaq Faris Ramlan, dapat bermain.

Ketiga-tiga penyerang itu tidak diturunkan selepas mengalami kecederaan sewaktu pertemuan separuh akhir dengan Myanmar.

Ong mengakui pada perlawanan masa tambahan, beliau mengarahkan pemain untuk melakukan hantaran pendek kerana memahami mereka keletihan terutama selepas mengharungi tiga perlawanan sengit berturut-turut.

Beliau juga mengakui pengalaman beberapa pemain yang menimba pengalaman di Slovakia, turut mencorakkan permainan taktikal dan corak pantas skuad tersebut.

Mereka termasuk Mohamad Fadhli Mohd Shas dan Mohd Irfan Fazail yang pernah bermain dengan pasukan kelab Slovakia, FC ViOn Zlate Moravce.

Ong juga menceritakan pengalaman agak menakutkan ketika pasukan Malaysia hendak pergi ke stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Menurutnya, bas yang dinaiki pemain dan beberapa penyokong negara digoncang penyokong Indonesia.

Beliau memuji pemain kerana tidak terganggu oleh permainan psikologi penyokong lawan dan sebalik memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan.

Pengalaman berdepan penyokong fanatik di Jakarta, katanya, memberi pengalaman baru dan mematangkan pemain Malaysia.

Selepas Datuk K Rajagobal mengecapi kemanisan membimbing pasukan negara bergelar juara acara bola sepak Sukan SEA pada 2009, kini giliran Ong pula menikmatinya.

Bagi Ong, ada satu lagi misi yang lebih penting menunggu skuadnya.

Pasukan negara yang pulang ke tanah air hari ini akan menyambung latihan sebelum menentang Syria dalam perlawanan peringkat Kumpulan Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8.45 malam esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment