KUALA LUMPUR - Sekalipun tidak disandarkan harapan pada Sukan SEA Indonesia, beregu muda yang semakin meningkat, Lim Khim Wah-Goh V Shem percaya usaha merangkul pingat emas pada penampilan pertama bukan satu misi mustahil.
Malah, Khim Wah-V Shem, yang kini menghuni ranking ke-27 dunia, mahu menggunakan temasya dwi tahunan itu sebagai pentas mengukuhkan status selaku beregu lelaki No. 2 negara selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (No. 5 dunia), sekali gus mencerahkan harapan untuk beraksi pada Piala Thomas tahun depan.
Biarpun kurang konsisten, gandingan Khim Wah-V Shem yang belum pun sampai setahun digandingkan tampak menjadi dengan kemampuan mengejutkan beregu handalan dunia dalam beberapa kejohanan tahun ini.
Antara yang menjadi mangsa mereka termasuk Cai Biao-Guo Zhendong - pasangan No. 7 dunia dari China pada Terbuka Jepun serta Naoki Kawamae-Shoji Sato (No. 12 dari Jepun) dan Cho Gun-woo-Kwon Yi-goo (No. 15 dari Korea Selatan), masing-masing di Terbuka Perancis dan Terbuka Thailand.
Khim Wah berkata, keserasiannya dengan V Shem kian mantap dari hari ke hari dan yakin dapat memberi impak di Sukan SEA minggu depan.
"Sasaran kami ialah ke separuh akhir, tetapi ini tidak bermakna kami tidak bercita-cita untuk merangkul emas.
"Saya jangka kami akan diletakkan sebagai pilihan ketiga di belakang Mohammad Ahsan-Bona Septano dan Markis Kido-Hendra Setiawan.
"Jadi, andai kami dapat menumbangkan salah satu pasangan tuan rumah, maka peluang kami untuk melayakkan diri ke final adalah cerah dan tiada alasan kenapa kami tidak boleh merangkul emas," ujar Khim Wah yang merupakan pemain simpanan pada Sukan SEA Laos, dua tahun lalu.
Sementara itu ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her yakin Khim Wah-Wei Shem mampu melakar kejutan tetapi dengan syarat mereka perlu berada pada prestasi terbaik.
"Saya gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan mereka berdua. Pada hari mereka dapat pamer kemampuan sebenar, sesiapa saja mereka boleh dikalahkan.
"Khim Wah-V Shem adalah beregu yang agresif dan mengutamakan gaya menyerang. Selagi Khim Wah dapat menguasai permainan jaring dan tengah gelanggang, maka mereka akan dapat atasi mana-mana lawan," kata Kim Her.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment