Tuesday, November 15, 2011

Bukan Singapura tentu nasib'


IZZAQ Faris Ramlan (kanan) menanduk kemas bola ke gawang gol semasa menentang Kemboja, kelmarin. Malaysia yang menang 4-1 pada perlawanan itu akan bertemu Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A bagi menentukan tempat ke babak separuh akhir.


JAKARTA - Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee tidak mahu bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Singapura dan Thailand Khamis ini dalam menentukan nasib untuk ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA XXVI.

Saingan ke separuh akhir Kumpulan A kini menjadi rebutan antara Malaysia dan Singapura setelah Thailand tiada lagi harapan akibat kalah 1-3 kepada Indonesia, kelmarin.
Ini bermakna, jika Singapura, yang kini memiliki empat mata, kalah atau seri dengan Thailand Khamis ini, maka Malaysia akan mengiringi Indonesia, yang sudah layak ke separuh akhir.

Namun, jika Singapura menang, Malaysia yang kini mengumpul tujuh mata, perlu sekurang-kurangnya seri apabila berdepan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A itu nanti.
Bagi Kim Swee, dia tidak mengendah atau memikirkan apa juga keputusan perlawanan di antara Singapura dan Thailand, sebaliknya fokus untuk mendapat mata apabila berdepan Indonesia.
"Nasib kita untuk ke separuh akhir ditentukan oleh pemain sendiri, bukan bergantung kepada keputusan perlawanan lain.

"Saya tidak mahu membuat perkiraan sedemikian (bergantung keputusan Singapura-Thailand). Sama ada Singapura menang atau kalah, itu tidak penting, yang penting kita kena mengutip mata pada pertembungan dengan Indonesia nanti," katanya.

Ditanya sama ada akan wujud 'pakatan' kemungkinan Thailand, yang sudah tersingkir daripada perebutan ke separuh akhir akan memberi kemenangan kepada Singapura, Kim Swee berkata, ia tidak mungkin berlaku.
"Walaupun sudah tiada peluang untuk ke separuh akhir saya percaya Thailand akan bermain bersungguh-sungguh demi maruah mereka," katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee meminta pemain supaya berhati-hati dan mengawal perasaan ketika berdepan Indonesia nanti, bagi mengelak insiden buang padang seperti mana yang menimpa dua pasukan yang berdepan Indonesia sebelum ini, iaitu Singapura dan Thailand.
Pada perlawanan kedua pasukan tuan rumah, Singapura terpaksa beraksi dengan 10 pemain, setelah seorang pemain dikenakan kad merah.


Kelmarin, giliran Thailand pula dan lebih parah mereka beraksi dengan sembilan pemain kerana dua pemain mereka dibuang padang.
Mengulas kemungkinan pengadil memihak kepada tuan rumah, Kim Swee berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal mutu pengadilan.

"Saya cuma harap pemain supaya waspada dan tidak beraksi mengikut perasaan bagi mengelak insiden yang dialami Singapura dan Thailand, menimpa kita pula," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment