Tuesday, November 15, 2011

'Jangan sampai hilang fokus'


KIM SWEE (tiga dari kiri) tidak mahu skuad Harimau Muda diperangkap Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Khamis ini.


JAKARTA - Kekal fokus dan harus waspada.
Itu peringatan yang mahu disampaikan oleh pengendali skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Biarpun skuad negara kini berada di landasan terbaik untuk meloloskan diri ke saingan separuh akhir, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya diperangkap Indonesia, sekali gus menyekat laluan Harimau Muda untuk melangkah lebih jauh.
Bagi Kim Swee, barisan kendaliannya harus tampil dengan matlamat memburu mata, tidak kira tiga mata penuh mahupun satu mata.

"Sasaran memburu tempat ke separuh akhir kini terletak di tangan kami sendiri. Kami tidak mahu bergantung kepada keputusan pasukan lain.
"Tidak kira apa yang berlaku pada perlawanan antara Singapura dan Thailand, saya mahu para pemain sentiasa fokus pada perlawanan dengan Indonesia nanti," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.


Walaupun Harimau Muda dilihat memiliki rehat yang cukup sebelum berdepan Indonesia, Kim Swee menuntut anak-anak buahnya bersedia dari segi mental dan fizikal menjelang aksi penting itu.

"Harus diingat apabila kita menentang Indonesia, kita bukan sahaja menentang 11 pemain mereka di tengah padang tetapi perlu berdepan dengan ribuan penyokong tuan rumah.
"Sudah tentu situasi itu harus ditangani dengan baik oleh setiap pemain yang diturunkan nanti. Para pemain saya tidak boleh beraksi mengikut perasaan yang akhirnya mengundang padah buat pasukan," katanya.
Ditanya faktor pengadil juga mampu menjadi penentu kepada keputusan perlawanan itu nanti, Kim Swee menjawab: "Kami harus belajar daripada apa yang telah berlaku dalam perlawanan membabitkan Indonesia dengan Singapura dan Thailand.

"Tetapi saya harap perkara seperti itu (pemain dibuang padang) tidak berlaku kepada pasukan negara. Yang penting, para pemain saya harus mengawal emosi sepanjang perlawanan berlangsung," jelasnya.
Skuad Harimau Muda semakin hampir menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada temasya kali ini selepas membenam Kemboja 4-1 kelmarin.

Sebelum itu, anak-anak buah Kim Swee seri tanpa jaringan dengan Singapura sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas pasukan pilihan, Thailand.
Bagaimanapun, misi Thailand pada temasya di Jakarta berakhir lebih awal apabila skuad Gajah Putih itu tumbang kepada Indonesia yang telah mengesahkan slot separuh akhir hasil tiga kemenangan berturut-turut.
Selepas membelasah Kemboja 6-0, Indonesia meneruskan rentak kemenangan apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Singapura dan menang 3-1 ke atas Thailand.

Selepas tiga perlawanan, Indonesia unggul menerajui Kumpulan A apabila mengumpul sembilan mata, diikuti Harimau Muda (tujuh), Singapura (empat) dan Thailand (tiga).
Kemboja pula gagal meraih sebarang mata apabila tewas dalam kesemua empat perlawanan yang diharungi.

KOSMO

No comments:

Post a Comment