Monday, November 14, 2011

7 emas warnai hari kedua


Leong Mun Yee (atas) dan Ng Yan Yee menang pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik Jakabaring, Palembang, semalam.


JAKARTA – Setelah meraih dua pingat emas pada hari pertama Sukan SEA XXVI kelmarin, kontinjen negara bangkit mempamerkan keyakinan lebih cemerlang dengan menambah tujuh lagi emas untuk sembilan emas keseluruhan, semalam.

Jika kontinjen negara di Palembang membuka tirai saingan kelmarin dengan dua pingat emas, semalam giliran kem Malaysia di Jakarta pula cemerlang dengan lima emas; empat menerusi karate dan satu emas daripada lawan pedang.

Episod malang Jamalliah Jamaluddin kelmarin, berjaya ditebus adik lelakinya, Shaharudin yang memberikan emas dalam kumite 75 kilogram.

Malah, karate terus membutirkan tiga lagi emas menerusi Loganesha Rao (kumite Bawah 55kg lelaki), K. Teagarajan (individu kumite 84kg lelaki) dan G. Yamini (individu kumite bawah 61kg)
Bagaimanapun, pingat emas yang paling mencuri tumpuan di Jakarta semalam sudah pastinya menerusi acara lawan pedang.

Koh I Jie tanpa disangka memenangi acara epee individu lelaki, sekali gus merupakan pingat emas pertama acara lawan pedang pada Sukan SEA selepas 22 tahun, terakhir dimenangi pada 1989.
Di Palembang, kontinjen Malaysia menokok dua pingat emas semalam.

Terjun yang membuka gelanggang semalam, memulakan kempen pungutan pingat menerusi Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik Jakabaring.
Satu lagi emas daripada atlet acara 20 kilometer jalan kaki lelaki, Lo Choon Sieng.

Kontinjen negara dijangka terus menuai pingat emas hari ini menerusi beberapa acara seperti renang yang melibatkan aksi perenang handalan seperti Khoo Cai Lin dan Marellyn Liew.

Taruhan terbaik untuk emas olahraga adalah menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan jaguh 400m lari berpagar Noraseela Mohd. Khaled.


– Utusan

No comments:

Post a Comment