Thursday, October 6, 2011

‘Saya cuba terbaik’

SITI ZUBAIDAH mahu pastikan pemilihannya dalam skuad olahraga negara berbaloi.


“SAYA akan cuba beri yang terbaik.”
Demikian janji atlet pecut wanita negara, Siti Zubaidah Adabi ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang telah menyenaraikan namanya semula bagi beraksi pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia November depan.

Selain Zubaidah, KOM turut menyenaraikan semula seorang lagi atlet pecut wanita iaitu Siti Fatimah Mohammad.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak bermakna tempat buat dua atlet tersebut sudah terjamin untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu.

Ini kerana, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengesahkan perkara tersebut Isnin lalu menjelaskan bahawa Zubaidah dan Fatimah perlu melepasi had kelayakan sekurang-kurangnya bagi melayakkan mereka dihantar menyertai Sukan SEA 2011 atas tiket kategori B.

Peluang buat Zubaidah dan Fatimah untuk membuktikan yang mereka layak ke bumi Indonesia bakal hadir apabila berlangsungnya Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Oktober ini.

Menyedari masa untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Terbuka Kuala Lumpur kini tinggal dua minggu sahaja lagi, Zubaidah enggan meletakkan sebarang harapan yang tinggi sebaliknya akan cuba untuk melakukan yang terbaik.

“Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana sudah seminggu saya tidak menjalani latihan. Sebelum menyertai GP (Grand Prix) Kebangsaan minggu lalu pun saya tidak menjalani latihan sepenuhnya.

“Dengan berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum Terbuka Kuala Lumpur, saya akan menjalani latihan sebaik yang mungkin. Jika saya berlari sekalipun nanti, mungkin prestasi hanya 75 peratus sahaja.

“Namun, saya tetap cuba memberikan yang terbaik. Saya akan gunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin,“ kata Zubaidah ketika dihubungi Kosmo! menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kelmarin.
Sebelum ini, timbul kontroversi apabila KOM menggugurkan nama Zubaidah dan Fatimah serta seorang lagi rakan mereka, Yee Yi Ling daripada membarisi kuartet 4x100 meter wanita negara ke Sukan SEA 2011.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan rasa kurang senang tiga atlet terbabit yang merasakan bahawa ia adalah tidak adil.

Namun, Shahidan menerusi kenyataan kepada Kosmo! Isnin lalu menjelaskan bahawa ahli majlis KOM telah bersetuju untuk menyenaraikan Zubaidah dan Fatimah ke Sukan SEA 2011.

Begitupun, ia bukan bermakna kedua-dua atlet tersebut kembali disenaraikan dalam kuartet 4x100 meter tetapi ia lebih diberi keutamaan dalam acara individu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim kerana memberi peluang kepada saya dan Fatimah. Kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin,” tambah Zubaidah



Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment