Thursday, October 20, 2011

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas


SETIAUSAHA Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi memberi jaminan kontinjen negara tidak akan menghadapi masalah kekurangan bilik penginapan pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Menurut Kok Chi, pihaknya telahpun menerima senarai penginapan daripada pihak penganjur berhubung penginapan buat atlet-atlet negara yang bakal bertanding pada temasya dwitahunan itu baik di Palembang mahupun di Jakarta.
“Setakat ini, tidak ada sebarang masalah yang dihadapi dan pihak penganjur pun telah menghantar senarai penginapan kepada kami (MOM) buat atlet-atlet Malaysia.
“Semuanya telah diatur mengikut perancangan dan tidak ada sebab untuk kita bimbang mengenai kekurangan bilik penginapan buat kontinjen negara,” kata Kok Chi ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Semalam, media di Indonesia melaporkan kekurangan bilik penginapan di perkampungan atlet dan bilik hotel terutamanya di Palembang mungkin memaksa Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (Inasoc) untuk menggunakan kapal tentera Republik itu sebagai hotel terapung.
Sehingga kini, 15,900 atlet dan pegawai dari 11 negara telah mendaftar untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu dan separuh daripada mereka akan berada di Palembang.
Bagaimanapun perkampungan atlet di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang hanya boleh menampung kira-kira 2,000 peserta dan terdapat kira-kira 4,500 bilik hotel di bandar itu.
Kok Chi yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata: “Kami tidak dimaklumkan apa-apa mengenai masalah tersebut.
“Malah, senarai penginapan buat atlet-atlet Malaysia yang kami terima daripada pihak penganjur tidak ada pula menyebut yang atlet-atlet kita akan menginap dalam kapal tentera.
“Saya percaya, selaku penganjur, Indonesia tahu apa yang perlu mereka lakukan kerana mereka sendiri sudah berjanji bahawa segala persiapan bagi Sukan SEA kali ini akan siap sebelum ia bermula,” ujar Kok Chi.
Dalam pada itu, Kok Chi turut memberitahu bahawa Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2011, Datuk Naim Mohamed bersama beberapa lagi pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlepas ke Indonesia, Sabtu ini bagi membuat tinjauan terhadap persiapan penganjur menjelang temasya yang bakal membuka tirainya 11 November ini.
“Apabila Datuk Naim bersama beberapa pegawai MSN sudah melakukan tinjauan itu nanti barulah kita akan tahu sejauh mana persiapan Indonesia bagi menganjurkan Sukan SEA kali ini dan selepas itu baharu kita boleh membuat sebarang keputusan sekiranya ada masalah-masalah yang timbul,” tambah Kok Chi.
KOSMO

No comments:

Post a Comment