Friday, October 21, 2011

Jangan gentar reputasi lawan

IMBAS KEMBALI...skuad Malaysia bergembira selepas mengalahkan Thailand  2-1 pada Sukan Sea Laos 2009.
IMBAS KEMBALI...skuad Malaysia bergembira selepas mengalahkan Thailand 2-1 pada Sukan Sea Laos 2009.
SEGALA apa yang diperlukan untuk bergelar jaguh, sudah dilaksanakan sebaik mungkin dan kini semuanya terpulang kepada pemain skuad kebangsaan sama ada mereka mampu atau tidak dalam misi mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada temasya Sukan Sea Indonesia yang bakal menyingkap tirainya, bulan depan.
“Persediaan sudah dibuat sejak dua tahun lalu. Mereka juga pernah ditempatkan di Slovakia selain beberapa perlawanan persahabatan bermutu tinggi. Terserahlah kepada pemain. Suka atau tidak, kita perlu mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Selaku orang nombor dua di dalam badan induk kebangsaan itu, beliau sedar keputusan undian peringkat kumpulan untuk acara bola sepak sememangnya tidak memihak kepada skuad kebangsaan yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee itu tetapi jauh di sudut hatinya, beliau tetap berpegang kepada kata-kata: “Di dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku“.
Berdasarkan kepada keputusan undian yang berlangsung kelmarin, anak buah Kim Swee itu diundi didalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja manakala naib juara ketika di Laos, Vietnam pula berada di dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Laos, Brunei, Filipina dan Timor Leste.

Malaysia akan membuka kempen mempertahankan emas Sukan Sea dengan menentang Singapura pada 9 November diikuti Thailand (11 November), Kemboja (15 November) dan Indonesia (17 November). Semua perlawanan itu akan dilangsungkan di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Kumpulan B pula akan melangsungkan perlawanan di Stadium Lebak Bulus, Jakarta. Hanya dua pasukan daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara acara bola sepak Sukan Sea buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun ketika temasya itu dilangsungkan di Laos, dua tahun lalu iaitu menerusi skuad bimbingan Datuk K Rajagobal. Meskipun hanya menduduki tempat kedua Kumpulan A di belakang Vietnam, Malaysia bangkit menewaskan Laos 3-1 pada separuh akhir sebelum melangkah ke final sekali gus menang 1-0 ke atas Vietnam. “Jurulatih (Kim Swee) perlu mempunyai formula terbaik untuk memastikan emas dapat dipertahankan. Segala strategi dan perancangan perlu diatur dan dilaksana dengan sempurna jika kita mahu muncul juara.

“Memang keputusan undian itu tidak begitu memihak kepada kita. Kita berada dalam kumpulan yang sukar dan lawan kita bukanlah calang-calang. Saya jangka saingan paling hebat bakal dihadirkan oleh tuan rumah, Indonesia. Bagaimanapun, kita tidak boleh melupakan Thailand dan Singapura.
“Apa yang penting, pemain kita hendaklah berfikiran positif dan fokus kepada perlawanan satu demi satu. Jangan rosakkan minda dengan terlalu memikirkan soal siapa lawan atau memandang rendah keupayaan lawan. Jangan pandang ringan setiap perlawanan. Kita semua perlu positif,” katanya.


Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

No comments:

Post a Comment