Friday, October 21, 2011

FAM lega final bola sepak Sukan Sea cepat sehari

SELEPAS penat menanti akhirnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa akur bahawa Persatuan Bola Sepak Syria (SFA) sebenarnya berat hati untuk menerima permohonan mereka menunda perlawanan peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik London 2012 pada November depan.
Biarpun pada mulanya dikatakan Syria memberikan perkhabaran positif untuk menunda perlawanan kedua Kumpulan C pada 23 November kepada 24 November ini, namun sikap membisu persatuan bola sepak negara itu membuatkan FAM menganggap usaha mereka itu seperti sudah tidak berhasil.

Namun kini FAM boleh berterima kasih kepada tuan rumah Sukan Sea Indonesia yang dianggap penyelamat kerana mempercepatkan sehari perlawanan final acara bola sepak pada 21 November.
Ini kerana jika skuad negara dibimbing Ong Kim Swee mara ke final, mereka mempunyai tempoh 48 jam sebelum beraksi dalam perlawanan kelayakan Olimpik menentang Syria seperti ditetapkan peraturan perlawanan antarabangsa Fifa.

Menurut Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga pengurus skuad Sukan Sea negara, mereka kini hanya perlu memberi fokus kepada persediaan kepada dua kejohanan penting itu tanpa perlu menantikan jawapan Syria.

“Kita sudah menghubungi dan mengemukakan rayuan beberapa kali kepada Syria namun sampai sekarang tidak ada jawapan. Jadi kita anggap Syria tidak mahu ubah tarikh perlawanan itu.

“Tapi memandangkan tarikh perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Indonesia sudah diubah pada 21 November dan bukannya 22 November seperti yang jadualkan sebelum ini, jadi kita sudah tidak berdepan masalah sekiranya kita layak ke final Sukan Sea kerana mempunyai tempoh 48 jam sebelum menentang Syria dalam perlawanan kelayakan Olimpik,” kata Hamidin ketika dihubungi Arena Metro di Hanoi.

Malaysia yang turun selaku juara bertahan di Sukan Sea kali ini diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja. Hampir keseluruhan pemain skuad Sukan Sea negara berusia bawah 23 tahun adalah pemain sama dalam skuad Olimpik.

Sementara itu, anak buah Kim Swee bakal berdepan Myanmar hari ini bagi aksi kedua kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam di Hanoi.



Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment