Friday, September 30, 2011

Basikal bukit berlepas awal ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR - Mengambil iktibar daripada kesilapan dua tahun lalu, skuad basikal bukit negara akan berlepas ke Jakarta sebulan lebih awal sebelum Sukan SEA bermula, 11-25 November ini bagi memastikan mereka mempunyai masa yang cukup untuk menguji trek perlumbaan.

Pada temasya 2009 di Laos, pelumba negara bukan saja beraksi dengan pengalaman serba kurang, malah hanya tiba dua hari sebelum perlumbaan bermula, menyebabkan mereka tidak langsung berpeluang menguji trek lumba.

Shahrin Amir, 29, antara yang merasai kesukaran ketika itu kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan perlumbaan untuk berlatih dan terpaksa bersaing dengan pelumba lain yang mempunyai kelebihan menguji trek lebih awal.

Ia menyebabkan dia akhirnya sekadar pulang dengan kedudukan kesembilan.
Bagaimanapun kali ini, Shahrin dengan pengalaman yang lebih luas dan persediaan rapi yakin, dia mampu memberi tentangan serius di Jakarta nanti, biarpun sedar pilihan utama tetap terarah kepada pelumba dari Thailand dan Indonesia.

"Sekarang tumpuan saya adalah kepada LIMBC (Cabaran Lumba Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi) bulan depan. Sebaik perlumbaan tamat, saya mungkin akan berlepas ke Jakarta untuk menguji laluan yang akan digunakan pada Sukan SEA nanti lebih awal.


"Adalah penting untuk melihat bentuk halangan dan liku yang bakal saya lalui pada hari sebenar temasya sebelum perlumbaan sebenar berlangsung. Kami telah belajar daripada apa yang berlaku dua tahun lalu, di mana kami tiba lewat dan ia memang memberi kesukaran.

"Ketika itu, kami tiba dua hari sebelum perlumbaan bermula dan trek basikal bukit sudahpun ditutup oleh penganjur. Biarpun kami merayu untuk mencuba laluan sekejap tetapi ia tidak dihiraukan, malah pihak berkuasa mengawal ketat kawasan tersebut," katanya ketika ditemui pada majlis penajaan LIMBC 2011, semalam.

Kata Shahrin, biarpun sedar tentangan hebat bakal datang daripada pelumba jiran, Indonesia dan Thailand, dengan pengalaman lebih luas yang sudah dikutip dalam tempoh dua tahun terakhir ini, dia berharap untuk memberi impak di Jakarta nanti.

Pelumba yang berasal dari Sandakan, Sabah itu merupakan juara basikal bukit kebangsaan, selain mempamer persembahan cemerlang ketika muncul naib juara elit pada LIMBC 2010 di belakang jaguh Australia, Lachlan Norris.


UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment