Friday, September 30, 2011

RM3.1 juta kos atlit Sukan SEA

Kontinjen negara dijangka seramai 904 sertai sukan dwi-tahunan itu

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) perlu mengeluarkan perbelanjaan RM3.1 juta untuk menghantar 904 atlit dan pegawai yang akan menganggotai kontinjen negara pada Sukan SEA XXVI Indonesia November ini.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata kos perbelanjaan untuk seorang atlit dan pegawai yang menyertai temasya dwitahunan dari 11 hingga 22 November itu adalah RM3,500 seorang.

Seramai 544 atlit dan pegawai layak menyertai temasya itu atas tiket Kategori A dan kos perbelanjaan mereka ditanggung sepenuhnya, manakala selebihnya atas tiket Kategori B dengan mereka perlu menanggung perbelanjaan sendiri. - Sieh Kok Chi, Setiausaha Kehormat MOM 
“Seramai 544 atlit dan pegawai layak menyertai temasya itu atas tiket Kategori A dan kos perbelanjaan mereka ditanggung sepenuhnya, manakala selebihnya atas tiket Kategori B dengan mereka perlu menanggung perbelanjaan sendiri,” katanya semalam.

Kok Chi berkata, seperti sebelum ini MOM akan membayar semula kos perbelanjaan atlit bertanding atas tiket Kategori B andai mereka berjaya memenangi pingat emas atau perak.

“Namun, persatuan sukan kebangsaan perlu bertanggungjawab membayar sepenuhnya perbelanjaan sekiranya atlit masing-masing gagal,” katanya.

Sementara itu, Kok Chi menegaskan pihaknya tidak pernah menghalang persatuan sukan menghantar atlit bertanding pada sukan temasya, sebaliknya menggalakkan lebih banyak persatuan berbuat demikian.

“Apa maknanya menjadi ahli gabungan MOM sekiranya persatuan tidak berminat menyertai sukan temasya. Ini kerana antara tujuan utama penubuhan MOM bagi membolehkan mereka menyertai sukan temasya seperti Sukan SEA, Asia, Komanwel dan Olimpik,” katanya.



BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment