Monday, June 20, 2011

Masitah yakin raih pingat Sukan SEA

PENEMBAK pistol negara, Siti Nur Masitah Mohd Badrin berharap menyumbang pingat dalam acara perseorangan pada Sukan SEA 2011 di Palembang, hujung tahun ini selepas penganjur membatalkan acara berpasukan.

Pada temasya di Laos 2009, dia yang mewakili negara dalam acara air pistol dan sport pistol meraih dua gangsa acara berpasukan bersama Bibiana Ng dan Joseline Cheah tetapi prestasinya jauh berbanding dua penembak veteran itu apabila menduduki tangga ke-17 daripada 21 peserta dalam acara air pistol dan keenam daripada 19 penembak dalam acara sport pistol.
“Berdasarkan kepada keputusan dan keadaan ketika itu, memang sukar untuk meraih pingat dalam acara perseorangan kali ini tetapi saya mahu memperkemaskan diri untuk menghadapi saingan pada temasya kali ini,” katanya.

Menurutnya, pengalaman bersaing di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Dunia ISSF serta beberapa sirkit kebangsaan sejak dua tahun lalu, memberi keyakinan kepadanya untuk mempamerkan bidikan lebih tepat di Palembang, November ini.

“Saya bukan sekadar mahu meraih pingat, sebaliknya mahu menyumbang emas untuk negara,” katanya.



BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment