Tuesday, June 21, 2011

PTAM cari dua lagi peninju untuk Sukan SEA

MOHD Ali (tiga dari kanan)   tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan kerana komitmen kepada pelajaran.
MOHD Ali (tiga dari kanan) tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan kerana komitmen kepada pelajaran. 
 
 
PERSATUAN Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mahu mendapatkan dua lagi peninju untuk melengkapkan senarai skuad berkenaan ke Sukan SEA 2011 di Indonesia, November ini selepas berlaku sedikit perubahan dalam senarai asal skuad.

Mohd Ali Abd Karim yang sebelum ini disenaraikan bagi kategori 56 kilogram (kg) dikatakan tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan kerana komitmen kepada pelajaran manakala Mohd Farhan Mohd Harun bertukar ke kategori 75kg berbanding 69kg sebelum ini.
Setiausaha Kehormat PTAM, Mejar (B) Maulud Othman, mengesahkan mengenai perubahan itu dan pihaknya akan memilih dua lagi peninju mengisi kekosongan berkenaan sebelum melengkapkan senarai lapan peninju yang akan disenaraikan bagi persiapan terakhir ke temasya berprestij rantau ini.

Menurutnya, setakat ini senarai peninju ke temasya itu membabitkan Mohd Farhan yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Laos dalam kategori 69 kg, Mohd Fuad Redzuan (49kg), Mohd Sabri Khamis (52kg), Mohd Khir Azlan Azli (60kg) dan Mohd Fairuz Azwan Abdullah (81kg).

“Berikutan perubahan itu, kita akan memilih dua lagi peninju. Bagaimanapun mereka sudah dikenal pasti... kita perlu melihat persembahan terakhir mereka pada Kejohanan Tinju Piala Malaysia di Bandar Seri Jempol Negeri Sembilan bermula hari ini (semalam) sehingga 25 Jun ini.

“Kedua-dua peninju terbabit sudah diputuskan pada pemilihan PTAM pada 13 Jun lalu namun keputusan muktamad hanya akan dibuat berdasarkan persembahan mereka pada kejohanan di Jempol itu nanti sebelum nama mereka dikemukakan kepada jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM),” katanya semalam.




Mohd Amin Jalil - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment