Wednesday, June 15, 2011

Empat pelumba senior digugur

KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memandang serius persiapan ke Sukan SEA di Indonesia, apabila menggugurkan empat pelumba senior lebuh raya yang dilihat mengalami penurunan prestasi.

Keempat-empat pelumba tersebut, Zamri Mohd. Salleh, Nor Ridzuan Zainal, Fallanie Ali dan Wan Mohd. Najmee Wan Mohamad mempunyai peluang samar untuk mengambil bahagian dalam temasya dwi tahunan itu November ini.

Menurut Presiden PKBM, Abu Samah Wahab, keputusan dibuat selepas mendapat pandangan daripada ketua jurulatih lebuh raya negara, Graham Seers yang melihat keempat-empat pelumba itu kurang menyerlah termasuk dalam saingan Grand Prix Kebangsaan.

"Kami telah mengenalpasti 10 pelumba yang akan bersaing merebut tempat ke Sukan SEA, senarai terakhir enam pelumba akan diumumkan Oktober ini," katanya.

Jelasnya, jika keempat-empat pelumba tersebut mampu meningkatkan prestasi mereka pada baki perlumbaan Grand Prix Kebangsaan, mungkin mereka akan dipertimbangkan semula disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

"Kami telah menyenaraikan 10 pelumba dalam senarai pendek ini iaitu Suhardi Hassan, Muhammad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fakrullah Alias, Faris Razak, Mohd Nazri Muhammad, Sarham Miswan, Nik Mohd Azwan Zulkifli, Mohd Aim Mohd Fauzi, Mohd Al-Ghazali Abdul Hamid dan Mohd Zulhilmi Hafiz.

"Bagaimanapun pemilihan terakhir dijangka bertambah sengit dengan mengambil kira pretasi pelumba yang berkayuh untuk pasukan profesional seperti Amir Mustafa, Mohd Adiq Hussainie (Drapac Porsche), Saufi Mat Senan, Shahrul Mat Amin Terengganu Cycling Team (TSG) dan Ng Yong Li (Le Tua)," katanya.

Katanya, PKBM mahu mengulangi kejayaan 2005 di Manila apabila berjaya memenangi pingat emas melalui Suhardi Hassan, setelah hampar apabila sekadar memenangi perak di Korat (2007) dan gangsa pada temasya sukan itu di Laos (2009).



Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment