Thursday, May 26, 2011

Dua lagi acara masih samar

SELAIN bola sepak, dua lagi acara lumba basikal dan gimnastik mungkin berdepan nasib sama digugurkan daripada dipertandingkan dalam Sukan Sea Palembang, November ini.
Ini berikutan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak puas hati dengan acara lumba basikal yang dianjur tuan rumah manakala gimnastik pula berdepan masalah apabila persatuan gimnastik negara itu kini digantung Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, berbanding gimnastik, kes lumba basikal tampak lebih rumit jika acara itu masih mahu dianjur pada Sukan Sea kali ini.
“Sama ada gimnastik dan lumba basikal akan digugurkan belum diputuskan lagi tapi dua acara ini berdepan masalah untuk dianjurkan. Saya mendapat maklumat Persatuan Gimnastik Indonesia digantung atas sebab kelewatan pembayaran yuran namun perkara itu boleh diselesaikan segera tapi dalam hal lumba basikal kita tak tahu macam mana nak selesaikan.

“UCI tidak berpuas hati kerana tuan rumah mengadakan acara sesuka hati mereka tanpa mengikut standard ditetapkan. Sebagai contoh, mereka mempertandingkan acara 10 kilometer perlumbaan mata untuk lelaki sedangkan jarak itu lebih pendek berbanding perlumbaan mata untuk wanita sejauh 25km.

“UCI sudah tulis surat tapi sehingga kini penganjur tidak beri jawapan. Sebaliknya mereka memberitahu keputusan acara itu dibuat oleh SGF (Persekutuan Sukan Sea) tapi sebenarnya bukan SGF yang buat keputusan,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Apa yang dialami gimnastik dan lumba basikal itu tidak ubah seperti bola sepak yang belum tentu akan disenaraikan apabila badan induk bola sepak antarabangsa Fifa dijangka akan menggantung Persatuan Sepak Bola seluruh Indonesia (PSSI) daripada terbabit dalam sebarang aktiviti peringkat antarabangsa atas masalah dalaman persatuan itu.

Temasya sukan dwi tahunan kali ini akan berlangsung dari 11 hingga 25 November dengan hos utama Palembang akan menganjurkan acara pembukaan dan penutup selain menyediakan venue untuk 22 acara manakala Jakarta akan menjadi tuan rumah 24 acara.
Menurut Kok Chi, MOM dan Majlis Olimpik Singapura sudah membantah acara lumba basikal yang tidak mengikut standard antarabangsa itu daripada dipertandingkan namun pihak tuan rumah enggan berganjak dengan keputusan mereka.

“Terima saja apa yang ditetapkan UCI kerana mereka mempunyai kuasa. Kalau acara itu tidak diiktiraf UCI mana-mana atlet yang bertanding boleh dikenakan tindakan,” katanya.



Harian Metro

No comments:

Post a Comment