Friday, December 11, 2009

Zolkples sokong Ahmad Shabery


'Tradisi gilir pilih pengurus skuad perlu dihapus'


SUDAH tiba masa untuk persatuan sukan kebangsaan menghapuskan tradisi menggilirkan jawatan pengurus pasukan ke sesuatu temasya penting di kalangan barisan kepimpinan mereka, sebaliknya memilih pegawai yang 'tahu membuat kerja'.

Ia adalah jalan keluar terbaik ekoran pendedahan mengenai beberapa masalah ciptaan pengurus-pengurus pasukan yang langsung tidak mencerminkan pendekatan serius untuk menjaga kebajikan atlit-atlit jagaan mereka pada temasya kali ini.

Malah, ia juga reaksi terbaik selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, mencadangkan supaya ada mekanisme diperkenalkan demi memastikan pegawai-pegawai juga tertakluk kepada tindakan disiplin jika mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

"Pendekatan menggilirkan jawatan pengurus ke temasya sukan seperti Sukan Sea, Sukan Asia dan sebagainya perlu dihentikan. Persatuan harus memilih pengurus yang tahu menjaga kebajikan atlit. Ini penting kerana sebarang masalah mampu menjejaskan tumpuan dan pencapaian atlit," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar).

Malah Zolkples sudahpun merintis usaha sebegitu apabila meminta semua persatuan sukan - menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) - melantik secepat mungkin pengurus yang akan mengetuai pasukan ke Sukan Asia di Guangzhou, penghujung tahun depan.

"Sebaik saja saya dilantik sebagai chef-demission ke Guangzhou, saya sudah memaklumkan hasrat itu kepada persatuan sukan menerusi MOM. Ia demi memastikan segala persiapan yang perlu dilakukan daripada sekarang mampu berlangsung dengan baik," katanya.,

Kali ini di Vientiane, wujud cerita mengenai pengurus pasukan yang memilih tinggal di luar perkampungan sukan, ada yang tidak hadir latihan ketika ada juga tidak tahu tarikh sebenar atlit jagaannya perlu hadir ke ibu kota Laos itu. BHARIAN

No comments:

Post a Comment