Tuesday, December 22, 2009

Zolkples sanjung Daniel, Yi Ting


ADA rasa kagum diakui Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong terhadap Daniel Bego dan Siow Yi Ting yang menunjangi pencapaian sembilan emas skuad negara pada temasya kali ini.


"Saya memang kagum dan hormati Daniel atas apa yang dilakukan. Pada awalnya, memang jadual ketat dalam sesuatu acara jadi penghalang, tetapi Daniel buktikan bahawa dia mampu mengatasi rintangan sebegitu dan meraih lima emas untuk negara.

"Yi Ting juga sama. Tiga emasnya begitu bermakna dan jika tidak kerana dia demam dan tidak sihat pada hari terakhir renang sebelumnya, mungkin dia mampu untuk menyumbang satu lagi emas.


"Mereka menghasilkan prestasi yang bukan sahaja menepati sasaran, tetapi jauh melangkauinya lagi," katanya.

Apa dimaksudkan Zolkples ialah betapa bukan sahaja kilauan emas dicapai, tetapi lakaran rekod baru kebangsaan serta kejohanan yang ibarat mudah tumbang satu persatu.

"Biasanya, apabila mengejar pingat, catatan masa untuk rekod baru tidak terlalu kita pentingkan. Tetapi mereka membuktikan bahawa mereka mampu untuk melakukan kedua-duanya sekali gus," katanya.

Semua emas yang disumbangkan Bego dan Yi Ting adalah catatan rekod baru, sama ada rekod kebangsaan ataupun rekod Sukan Sea.

Selain mereka, turut menyumbang emas menerusi renang ialah Khoo Cai Lin. Pencapaian skuad akuatik negara disempurnakan hasil sumbangan enam emas menerusi barisan penerjun seperti Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong dan Ng Yan Yee.

No comments:

Post a Comment