Friday, December 11, 2009

Zakry-Fairuzzizuan tak mau pulang kosong


PEMAIN beregu negara menjalani latihan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Nasional Laos semalam bagi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.


VIENTIANE - Biarpun tampil sebagai beregu lelaki No. 2 negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzzizuan Tazari tetap menyimpan impian membawa pulang pingat acara badminton pada Sukan SEA XXV.

Jelas kedua-dua pemain muda negara itu, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu pulang dengan tangan kosong pada temasya dwitahunan kali ini.

"Sukan SEA memiliki keistimewaan tersendiri dan ia tidak seperti kejohanan Super Se- ries.

"Jadi kami hadir ke sini dengan satu impian iaitu sekurang-kurangnya meraih pingat, tidak kira emas, perak atau gangsa.

"Walaupun tidak diletakkan sebagai prospek emas tetapi kami tetap bercita-cita memenangi emas di Laos. Kalau sudah ada rezeki, tidak ke mana," kata Zakry ketika ditemui semalam.

Zakry berkata, dia dan Fairuzzizuan kini sudah cukup bersedia dan mereka juga bebas daripada sebarang masalah kesihatan.

"Syukur kerana kami tidak ada menghadapi kecederaan. Walaupun terpaksa menghadapi jadual yang padat sebelum datang ke Laos tetapi buat masa ini, semuanya dalam keadaan baik," tambahnya.

Fairuzzizuan pula berkata, apa yang agak membimbangkan mereka adalah faktor keletihan ekoran jadual kejohanan yang padat bulan lalu.

"Sebelum beraksi pada Final Masters di Johor Bahru baru-baru ini, kami juga beraksi pada Terbuka Hong Kong dan Terbuka China. Jadi masalah keletihan dikhuatiri mengganggu rentak permainan kami.

"Bagaimanapun, saya berharap masalah ini tidak memberi kesan kepada corak permainan kami. Kami mahu melakukan yang terbaik," katanya.

Selain Zakry dan Fairuzzizuan, usaha meraih pingat emas skuad badminton negara turut disandarkan kepada gandingan beregu No. 1, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong. KOSMO

No comments:

Post a Comment