Friday, December 11, 2009

Yi Ting menakjubkan


YI TING muncul atlet negara paling cemerlang di Laos semalam.


VIENTIANE, Laos – Siow Yi Ting menggegar Pusat Renang Kompleks Sukan Nasional pada temasya Sukan SEA XXV semalam.

Dia bukan setakat menang pingat emas tetapi turut meleburkan rekod Sukan SEA dalam acara 200 meter rampaian individu wanita dengan catatan masa 2 minit dan 14.57 saat sekali gus memadamkan rekod selama 10 tahun milik Jocelin Yeo dari Singapura iaitu 2:17.17s yang dilakukan pada temasya 1999 di Brunei.

Catatan yang dicipta Yi Ting semalam turut mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 2:16.92s yang dilakukan pada Sukan Komanwel 2006.

Lebih manis, kejayaan tersebut dianggap sangat bermakna buat perenang kelahiran Negeri Sembilan itu kerana dia akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 hari ini.

"Hari ini (semalam) cukup istimewa bagi saya kerana saya akan menyambut hari lahir yang ke-24 esok (hari ini). Tiada hadiah yang lebih istimewa selain daripada meraih emas dan memecahkan rekod Sukan SEA.

"Ia sesuatu yang menakjubkan apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan rekod baru kebangsaan dan Sukan SEA. Ia adalah hadiah hari jadi yang cukup istimewa buat saya," kata Yi Ting ketika ditemui semalam.

Pingat perak menjadi milik perenang Thailand, J. Natthanan yang mencatatkan masa 2:18.98s manakala Hui Yu Koh dari Singapura meraih gangsa dengan catatan 2:20.71s.

Yi Ting merupakan perenang wanita pertama negara yang beraksi pada tiga Sukan Olimpik berturut-turut.

Pada usia 15 tahun, dia membuat penampilan sulung di pentas Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Dia berjaya mencipta rekod kebangsaan apabila menamatkan saingan acara 200m kuak dada di tempat ke-27. Empat tahun kemudian, Yi Ting turut menggalas cabaran Malaysia dalam acara 200m kuak dada pada Sukan Olimpik di Athens, Greece.

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, Yi Ting layak beraksi dalam tiga acara iaitu 200m kuak dada serta 200 dan 400m rampaian individu.

Yi Ting kini berpeluang cerah menambah koleksi emasnya apabila kembali ke kolam renang untuk beraksi dalam 100 dan 200m kuak dada wanita.

Dia dijadualkan bersaing dalam acara 100m kuak dada hari ini sebelum mengakhiri cabarannya di Laos dengan acara 200m kuak dada esok.

Selain kejayaan Yi Ting semalam, kem renang negara turut meraikan kejayaan kuartet lelaki dan wanita yang masing-masing meraih pingat gangsa acara 4x200m gaya bebas.

Gandingan Foo Jian Beng, Kevin Yeap, Kevin Lim dan Daniel Bego turut berjaya memecah rekod 10 tahun kebangsaan dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki.

Kuartet lelaki negara itu mencatatkan masa 7:36.89s, sekali gus memadam rekod lama iaitu 7:40.88s yang dilakukan gandingan Allen Ang, Elvin Chia, Wan Azlan Abdullah dan Allen Ong pada Sukan SEA 1999.

Kuartet wanita yang diperkuatkan oleh Yi Ting, Lai Wei Li, Hii Siew Siew dan Khoo Chai Lin pula mencatatkan masa 8:29.12s, namun sebelum itu, perenang wanita negara, Chui Lai Kwan terlebih dahulu mencuri tumpuan dengan memecah rekod kebangsaan acara 100m gaya bebas dengan mencatat 57.59s seterusnya memadam rekod milik Leung Chii Lin (58.02s).

Pada saingan akhir semalam, Lai Kwan menduduki tempat keenam manakala Chii Lin yang mencatat masa 58.21s berada di tangga ketujuh.

No comments:

Post a Comment