Friday, December 11, 2009

Sukan Sea: Yi Ting luar biasa


Kuartet 4x200m lelaki turut gegar kolam


"MENAKJUBKAN! Hebat! Luar biasa! Saya langsung tidak menjangkakannya!"

Luahan itu hadir daripada Siow Yi Ting sehari sebelum hari jadi ke-24nya apabila memecahkan rekod kebangsaan dan rekod kejohanan acara 200m rampaian individu wanita dalam laluan mengungguli emas di kolam renang Kompleks Sukan Nasional Laos, malam tadi.

Turut mencipta gembira ialah gandingan 4x200m gaya bebas lelaki yang mencatat rekod baru kebangsaan, 7:36.89s, dalam laluan memenangi gangsa acara berkenaan. Satu lagi gangsa dimenangi kuartet 4x200m gaya bebas wanita.

Yi Ting jelas tiada tandingan dalam laluan mencatat kepantasan dua minit 14.47 saat - mengatasi rekod kebangsaan 2:16.92s ketika Sukan Komanwel 2006 di Melbourne serta hampir tiga saat mengatasi rekod lama temasya, 2:17.17s, yang dipegang perenang Singapura, Joscelin Yeo.

"Sudah lama saya tidak mencatat sekitar 2:16s, jadi untuk melakukan catatan sebegitu memang langsung tidak dijangka. Memenangi emas memang antara matlamat saya dalam acara ini, tetapi rekod baru sesuatu yang amat sukar untuk saya gambarkan bagaimana rasa gembira ini," katanya.

Yi Ting berpeluang menggandakan rasa gembira itu - sekali gus melengkapkan hari jadinya, hari ini - jika mampu mengetepikan tentangan sengit dijangkakan daripada barisan perenang Singapura apabila turun untuk acara 100m kuak dada.

Pingat emas itu adalah kali kedua Yi Ting membuktikan betapa dia tiada tandingan untuk acara itu, selepas kali pertama memenangi acara berkenaan di Korat, dua tahun lalu.

"Saya cuba mengekalkan ketenangan fikiran ketika berlumba. Strategi saya ialah untuk tenangkan fikiran, tetapi berlumba sehabis mungkin. Apabila saya tenang, saya sentiasa dapat melakukan catatan masa yang membanggakan," katanya.

Kuartet negara yang dibarisi Foo Jian Beng, Kevin Yeap, Kevin Lim dan Daniel Bego menambah ceria apabila menduduki tempat ketiga acara 4x200m gaya bebas dengan masa 7:36.89s, mengatasi rekod lama kebangsaan pada 7:40.88s yang dilakukan di Sukan Sea 1999.

Biarpun tidak mencatat rekod baru kebangsaan, gandingan Yi Ting,Lai Wei Li, Hii Siew Siew dan Khoo Chai Lin tetap membanggakan dengan pingat gangsa selepas mencatat 8:29.12s.

No comments:

Post a Comment