Monday, December 7, 2009

Wanita tagih perhatian FAM


Pemain Malaysia, Masturah Majid (belakang) mengasak pemain Vietnam, Van Thi Thanh ketika perlawanan Malaysia menentang Vietnam di Vientiane, semalam.

VIENTIANE - Skuad bola sepak wanita negara menagih bantuan dan perhatian serius daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas diaibkan lagi dengan kekalahan 0-8 kepada Vietnam semalam.

Kekalahan ini menyusul dua hari selepas mereka dibelasah 0-14 oleh Thailand, keputusan yang disifatkan oleh jurulatih negara, Zhang Yen sebagai hanya 'mendedahkan' kelemahan besar pentadbir bola sepak Malaysia menyediakan program pembangunan bola sepak wanita.

Menurut Zhang Yen, beliau tidak pernah kesal untuk membantu pembangunan bola sepak wanita Malaysia meskipun mempunyai reputasi hebat ketika beraksi buat pasukan kebangsaan China, termasuk bermain pada Piala Dunia 1991 dan pernah bergelar Pemain Terbaik China lapan kali berturut-turut ketika zaman kegemilangannya dari 1989-1996.

Bagaimanapun apa yang menyedihkan adalah melihat tiada usaha langsung untuk membangunkan bola sepak wanita di Malaysia, sedangkan negara mempunyai ramai pemain-pemain berbakat yang boleh pergi lebih jauh.

"Saya tidak mahu mengulas banyak tentang prestasi kita di atas padang kerana sejak awal mengambil alih pasukan ini, saya sedar Malaysia sangat lemah tetapi kita patut tanya apakah faktor yang membuatkan bola sepak wanita Malaysia terlalu ketinggalan jika dibandingkan dengan Thailand, Vietnam dan Myanmar.

"Ada yang kata kita tidak sepatutnya menghantar pasukan ke Sukan SEA kerana ia hanya akan memalukan diri sendiri, dengan standard yang lemah kita hanya menjadi pasukan belasahan tetapi apa lagi pertandingan yang boleh disertai skuad wanita Malaysia selain Sukan SEA?

"Lagipun keputusan menghantar pasukan ke Sukan SEA terletak di tangan persatuan, kalau mereka rasa tidak patut dihantar pasukan, maka tidak perlulah dihantar tetapi itu tetap tidak akan membantu pembangunan bola sepak wanita di Malaysia," ujar Zhang yang baru menjadi jurulatih bola sepak wanita negara 20 hari lalu menggantikan Zhang Hong yang cuti bersalin.

Kata Zhang lagi, mengabaikan pembangunan bola sepak wanita adalah satu kerugian besar buat Malaysia kerana beliau melihat negara ini mempunyai ramai pemain berbakat yang kebanyakannya dilahirkan menerusi pertandingan futsal yang aktif di negara ini.

Malah, jurulatih yang kontraknya tamat Disember itu percaya, sekiranya mendapat sokongan lebih baik daripada badan bola sepak kebangsaan, Malaysia boleh bersaing dengan Thailand, Vietnam dan Myanmar dalam tempoh empat tahun dari sekarang.

Malaysia akan menentang tuan rumah, Laos dalam perlawanan ketiga mereka Jumaat ini, namun perlawanan yang paling mendebarkan pastinya menentang Myanmar, yang berjaya mengekang Thailand 2-2 dalam satu lagi saingan semalam.

Sementara itu pengurus pasukan negara, Alina Cheong berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai pasukan yang berpotensi jika skuad sedia ada digilap dan diberi program yang serius, apatah lagi majoriti mereka berusia 18-24 tahun.

"Kita mempunyai ramai pemain muda yang puratanya berusia 20 tahun, jadi saya boleh katakan skuad ini mempunyai masa depan yang cerah jika diberi perhatian serius tetapi jika pembangunannya terus begini, saya percaya apabila pemain kembali ke tanah air, mereka akan berkubur begitu saja.

"Adalah tidak adil untuk membandingkan pemain-pemain kita dengan Thailand, Vietnam atau Myanmar, kita tidak ada liga, tidak ada pertandingan lain untuk dijadikan medan mengutip pengalaman dan mengukuhkan permainan, kita tidak ada apa-apa. Kebanyakan pemain hanya beraksi dalam pertandingan futsal, itu saja," katanya.

No comments:

Post a Comment