Terbang keseorangan hanya perkara kecil yang penting fokus utama: Ramlan
MELANGKAH keseorangan dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Vientiane dengan persinggahan selama lima jam di Bangkok, kelmarin membayangkan betapa chef-de-mission, Datuk Dr Ramlan Aziz berdepan laluan penuh ranjau dalam membimbing kontinjen negara.
Pernah meluahkan rasa betapa dirinya seperti 'terpinggir' dalam melaksanakan tugasnya tanpa kerjasama erat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Ramlan tampak sudah bersedia melaksanakan tugasnya sebaik mungkin.
"Tiada masalah terbang keseorangan ke Vientiane," kata Ramlan ketika terserempak dengan wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, kelmarin. "Saya sudah bersedia dan itu hanyalah perkara kecil, tidak perlu diperbesarkan.
"Apa yang penting, segala-galanya dalam persediaan untuk menghadapi temasya ini dan kita tidak harus lari daripada fokus utama di Laos."
Dengan tiada pengiring turut serta bersama Ramlan dalam perjalanan ke Vientiane, dan ketibaannya di Laos hanya disambut penganjur, timbul persoalan mengenai kerjasama antara semua pihak.
Dua tahun lalu ketika di Korat, chef-de-mission 2007, Datuk Zainal Abidin Ahmad turut mengalami dilema sama apabila meluahkan perasaannya sebaik temasya berakhir apabila menyatakan dia langsung tidak mendapat kerjasama daripada MSN dan seperti dipinggirkan.
Apapun, bagi Ramlan tumpuannya sekarang ialah untuk memastikan kontinjen negara sudah bersedia menghadapi cabaran di Laos.
"Sekarang semuanya dalam keadaan baik dan atlit yang berada di Perkampungan Sukan juga tidak berdepan sebarang masalah," katanya. "Kalau adapun cuma masalah kecil."
Mengenai berita seorang pengurus dilaporkan tidak tinggal bersama pasukan negara di dalam perkampungan seperti yang sepatutnya, Ramlan berkata dia akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara.
"Saya sendiri sedang mendapatkan kepastian mengenainya sama ada berita itu benar ataupun tidak. Sepatutnya semua pengurus pasukan menetap bersama pasukan masing-masing dalam Perkampungan Sukan."
No comments:
Post a Comment