Monday, December 7, 2009

Jaga maruah negara - Dr. Ramlan




RAMLAN sekali lagi mengingatkan semua atlet negara pada Sukan SEA Laos agar memelihara disiplin masing-masing.


Vientiane, Laos - "Jaga maruah Malaysia pada bila-bila masa."

Itu amaran Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz kepada semua ahli kontinjen negara yang beraksi pada temasya Sukan SEA XXV.

Dr. Ramlan mengeluarkan amaran itu ketika diminta mengulas insiden 'panas' yang dicetuskan skuad bola sepak negara ketika tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Tegas Dr. Ramlan, sekalipun beberapa keputusan pengadil Kim Jong Hyeok boleh dipertikaikan tetapi barisan pemain negara tidak wajar bertindak ganas dengan menyerang pengadil dari Korea Selatan itu.

"Kalah tetap kalah tetapi tindakan yang dilakukan pemain bola sepak negara amat tidak wajar sama sekali. Mereka sepatutnya mengawal emosi. Tindakan mereka itu amat memalukan kerana ia tidak mencerminkan budaya sebenar rakyat Malaysia.

"Sebagai Ketua Kontinjen, saya berharap, tindakan seperti itu tidak berulang lagi kerana ia hanya akan menjatuhkan maruah Malaysia di mata pihak luar," jelas Dr. Ramlan ketika ditemui semalam.

Dr. Ramlan berkata, beliau tidak bercadang mengambil sebarang tindakan tetapi akan berbincang dengan jurulatih negara, K. Rajagobal serta pegawai-pegawai skuad bola sepak negara bagi mengetahui lebih lanjut insiden yang berlaku itu.

"Saya serahkan perkara ini kepada jurulatih terlebih dahulu. Selepas itu, baru saya akan berjumpa dengan para pemain. Mereka harus ingat, masih ada dua perlawanan lagi yang harus dilalui. Jadi peluang mereka untuk ke pusingan seterusnya masih belum tertutup.

"Saya berharap, pemain-pemain bola sepak negara akan dapat mengawal emosi mereka pada perlawanan akan datang. Jika emosi tidak dapat dikawal, lihatlah apa yang telah berlaku... yang ruginya pasukan kita juga," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Ramlan turut mengingatkan setiap atlet negara yang beraksi di Laos agar menjaga kesihatan dan pemakanan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Dua perkara ini amat penting sebelum mereka beraksi dalam acara masing-masing. Amat merugikan atlet itu sendiri jika mereka menghadapi masalah kesihatan apabila tiba di sini.

"Jadi ingin saya ingatkan sekali lagi kepada semua atlet Malaysia agar sentiasa berjaga-jaga dengan apa yang mereka lakukan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment