Tuesday, December 8, 2009

Kita perlu kalahkan Kemboja


PEMAIN skuad bola sepak negara gigih menjalani latihan menjelang aksi menentang Kemboja hari ini.





VIENTIANE, Laos - Ketepikan segala rasa kecewa selepas tewas 1-3 kepada Vietnam kelmarin.

Sebaliknya, skuad bola sepak negara dituntut bangkit bagi memburu tiga mata berharga ketika berdepan dengan Kemboja pada aksi Kumpulan A temasya Sukan SEA XXV di Stadium Chao Anouvong hari ini.

Atas kertas, skuad kendalian K. Rajagobal itu diramal tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan Kemboja.

Namun, agak meresahkan kem Malaysia apabila moral serta semangat pemain negara yang mungkin sedikit terjejas gara-gara insiden kekecohan yang dicetuskan mereka ketika menentang Vietnam sebelum ini.

Apa tidaknya, semangat anak-anak buah Rajagobal seakan-akan bagai direntap gara-gara tidak berpuas hati dengan cara pengadilan pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok yang mengadili perlawanan tersebut.

Begitupun, Rajagobal pantas menafikan bahawa skuad kendaliannya masih terbawa- bawa dengan emosi mereka menjelang pertemuan menentang Kemboja hari ini.

"Seperti yang anda lihat hari ini (semalam) pemain saya begitu bersemangat menjalani latihan. Mereka sudah melupakan kekalahan kepada Vietnam semalam (kelmarin). Mereka juga tahu, peluang untuk mara ke pusingan seterusnya masih belum tertutup.

"Kami akan menghadapi dua lagi baki perlawanan Kumpulan A dan akan hadapi kedua-dua perlawanan tersebut dengan satu sikap yang positif. Kami kena bangkit," jelas Rajagobal selepas selesai sesi lati- han skuad negara di padang Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Laos semalam.

Bagi menghadapi Kemboja hari ini, skuad negara akan kehilangan khidmat ayam tambatan mereka, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang terpaksa menjalani penggantu- ngan satu perlawanan selepas mengutip kad merah ketika menentang Vietnam.

Begitupun, situasi itu tidak begitu meresahkan Rajagobal yang dijangka sekali lagi menggandingkan Nor- shahrul Idlan Talaha dengan Abdul Manaf Mamat di bahagian serangan.

Pada pertemuan dengan Vietnam, Norshahrul dan Abdul Manaf turut digandingkan bersama.

Ini kerana Rajagobal terpaksa meletakkan Zaquan di bangku simpanan dan hanya memasukkannya sebagai pemain gantingan pada babak kedua selepas penyerang negara itu dipercayai mengalami sakit mata.

"Saya masih ada masa untuk menyenaraikan pemain yang akan menentang Kemboja.

"Saya tidak akan meletakkan pemain sesuka hati saya disebabkan kami menentang Kemboja.

"Kami perlu menang ke atas Kemboja dan untuk itu, saya tetap akan menurunkan barisan terbaik supaya tiga mata menjadi milik kami," kata- nya.

Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad negara kini berada di tangga ketiga Kumpulan A dengan mengumpul tiga mata, empat mata di belakang pendahulu, Vietnam yang telah beraksi tiga perlawanan.

Thailand yang telah beraksi dua perlawanan berada di tangga kedua selepas mengumpul empat mata manakala Kemboja di tangga keempat dengan tiga mata.

Laos pula terus kekal selaku penghuni tangga tercorot apabila masih gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi tiga perlawanan. KOSMO

1 comment:

  1. malaysia boleh menang kalau semua hilangkan perasaan sebagai seorang pemain negara, tetapi bangkitkan semangat hanyalah untuk kegembiraan bermain bola itu sendiri setelah mengecapi kejayaan...

    ReplyDelete