Tuesday, December 8, 2009

Yi Ting boleh sapu emas


Atlet renang negara, Siow Yi Ting sewaktu menjalani latihan di Pusat Akuatik Laos semalam.


VIENTIANE, Laos - Perenang wanita sensasi negara, Siow Yi Ting berpelu- ang cerah meraih tiga pingat emas pada Sukan SEA XXV.

Ini kerana, musuh tradisinya dari Singapura, Nicolette Teo disahkan tidak beraksi pada temasya kali ini.

Ketiadaan Nicolette membuka peluang buat Yi Ting merampas kembali pingat emasnya dalam acara 100 dan 200 meter kuak dada daripada perenang Singapura itu.

Untuk rekod, pada tema- sya Sukan SEA 2001 dan 2003, Yi Ting berjaya merangkul pingat emas dalam kedua-dua acara kegemarannya itu.

Bagaimanapun, Nicolette merampas emas yang dimenangi Yi Ting dalam kedua-dua acara tersebut pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lalu.

"Nicolette telah menarik diri daripada skuad renang Singapura pada saat-saat akhir.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Yi Ting dan Nicolette sentiasa bersaing sengit dalam acara 100 dan 200 meter kuak dada.

"Dengan ketiadaan Nicolette, saya yakin Yi Ting mampu untuk meraih emas dalam kedua-dua acara itu," kata jurulatih skuad renang Singapura, David Lim semalam.

Selain acara 100 dan 200m kuak dada, perenang berusia 24 tahun itu diramal tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan pingat emas dalam acara 200m rampaian individu.

"Jika semuanya berjalan dengan baik, tiga pingat emas tidak mustahil untuk dicapai oleh Yi Ting.

"Saya lihat, dia begitu bersemangat untuk meraih emas dalam setiap acara yang disertainya nanti," tambah David.

Yi Ting merupakan perenang wanita pertama negara yang beraksi pada Sukan Olimpik dalam tiga temasya berturut-turut.

Pada usia 15 tahun, dia membuat penampilan sulung di pentas Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Dia berjaya mencipta rekod kebangsaan apabila menamatkan saingan 200m kuak dada di tempat ke-27.

Empat tahun kemudian, Yi Ting turut menggalas cabaran Malaysia dalam acara 200m kuak dada pada Sukan Olimpik di Athens, Greece.

Pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China, Yi Ting layak beraksi dalam tiga acara iaitu 200m kuak dada serta 200 dan 400m rampaian individu dan pengalamannya itu bakal menyaksikannya menguasai kolam di Laos. KOSMO

No comments:

Post a Comment