Friday, December 11, 2009

Takraw kita benam ego Myanmar



VIENTIANE – Myanmar, yang diramal mampu memberi tentangan sengit kepada Malaysia akhirnya berjaya ditundukkan 2-1 pada pusingan awal acara sepak takraw berpasukan pada Sukan SEA XXV Laos di Pusat Konvensyen dan Pameran Dagangan Antarabangsa Laos (ITTEC), semalam.

Regu pertama Malaysia, Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Farhan Adam dan Norshahruddin Mad Ghani menundukkan regu lawan, Zaw Lat, Zaw Zaw Htet 22-20, 21-10.

Mohd. Hamikhairi Muhammad Roslan, Mohd. Syafiq Ab. Rahman dan Muhammad Syazwan Husin yang turun sebagai regu kedua menang 21-12,21-14 ke atas gandingan Aung Cho Myint, Aung Myo Swe dan Kyaw Soe Win.

Namun, regu ketiga Malaysia, Mohd. Hafizie Manap, Mohd. Syafiq Ab. Rahman dan Nazirul Ikram Rozali kalah 14-21, 16-21 kepada regu lawan Kyaw Thi Ha Do, Yar Zar Htun dan Si Thu Lin.

Malaysia akan bertemu Indonesia pada perlawanan kedua, diikuti Loas dan yang terakhir menentang Thailand.

Mengulas kemenangan tersebut, pengurus skuad sepak takraw kebangsaan ke Loas, Datuk Arshad Yahya berkata, dia berpuas hati dengan cara para pemain beraksi bagi memastikan kemenangan ke atas Myanmar.

“Ramai yang meramalkan Myanmar bakal memberi tentangan sengit dan mampu mengejutkan kita.

“Skuad mereka tiba seminggu lebih awal untuk berlatih dan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Namun, kita membuktikan lebih baik daripada mereka walaupun kita berdepan beberapa masalah seperti kesukaran untuk mendapatkan tempat latihan yang sesuai,” katanya.

Skuad takraw menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam tiga acara yang disertainya pada Sukan SEA kali ini.

Kali terakhir kita memenangi emas berpasukan sepak takraw pada Sukan SEA Manila 1991. – UTUSAN

1 comment:

  1. skuad sepak takraw malaysia patut di puji kerana skuad sepak takraw kali ini adalah skuad yang terdiri daripada muka2 baru,namun tetap mnyerlah dan pulang dengan pingat, walaupun sekadar perak dan gangsa...
    teruskan usaha tingkat kan prestasi pada temasya2 yg akan dtg...
    jgn putus asa dgn kritikan yg di lemparkan,malah jd kan ia sbg pembakar semangat anda semua...

    ReplyDelete