Friday, December 4, 2009

'Skuad negara mampu atasi sasaran 2 gangsa'


YEW Ming raih gangsa di Sukan Sea Korat 2007 dan Hanoi 2003.

Gandingan Yew Ming, Adam boleh lakar kejutan: Selvarajoo

PERSEDIAAN lebih 10 bulan, dianggap paling rapi pernah disediakan untuk skuad negara menjelang saingan Sukan Sea di Laos minggu depan dan jurulatih kebangsaan, S Selvarajoo, yakin skuad negara mampu mengatasi sasaran dua pingat gangsa yang ditetapkan.

“Saya melihat pemain semakin agresif dan bersemangat ketika latihan dan kami yakin mampu menempatkan diri dalam kelompok terbaik di rantau ini,” katanya mengenai skuad negara yang ketika ini berada pada ranking keempat Asia Tenggara.

Sambil melihat perkembangan memberangsangkan pemain utama lelaki, Si Yew Ming yang mendapat bekalan berharga ketika bersaing dengan pemain terbaik dunia dalam kejuaraan Terbuka Malaysia ATP Oktober lalu, jurulatih itu berkata, pemain wanita juga dilihat semakin baik.

“Pemain wanita diterajui Jawariah (Nordin) selain (T) Neesha, Adelle (Boey) dan (Choo) Lyn Yee. Adelle dan Neesha sebelum ini berlatih di Amerika Syarikat dan mereka pulang ke ibu negara untuk mewakili negara.

“Selain itu, gandingan Yew Ming dengan pemain veteran, Adam Jaya juga menampakkan keserasian dan mungkin mereka mampu melakukan kejutan di Laos kelak,” katanya yang menegaskan, cabaran utama negara adalah pemain dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Jawariah

Sementara itu, Yew Ming berkata, banyak pendedahan baru dibentangkan Selvarajoo terhadap dirinya dan dia berasa lebih yakin terhadap permainannya berbanding sebelum ini.

“Saya harap dapat beraksi lebih cemerlang berbanding sebelum ini terutama sewaktu berganding dengan Adam yang mempunyai banyak pengalaman,” katanya yang meraih gangsa di Sukan Sea Korat 2007 dan Hanoi 2003.

Selvarajoo berkata, dua gangsa disasarkan adalah daripada acara berpasukan lelaki dan wanita.

“Kami harap dapat mencuri kedudukan ketiga di Sukan Sea tetapi pada masa sama, saya menekankan kepada pemain supaya sentiasa konsisten serta yakin terhadap kemampuan diri sendiri agar mampu menukar kilauan pingat kepada yang lebih berharga,” katanya.

Skuad lelaki negara dipimpin Yew Ming yang menghuni ranking 1,493 ATP diikuti Adam dan Razlan Rawi selain pemain pelapis, Ariez Elyass Heshaam manakala skuad wanita adalah Jawariah, Neesha, Adelle dan Lyn Yee. BHARIAN

No comments:

Post a Comment