Friday, December 4, 2009

Hup Wei mahu kekal tradisi




JAGUH lompat tinggi Asia Tenggara, Lee Hup Wei (gambar)mahu mengembalikan semula tradisi emas acara itu yang pernah dikuasai atlit Malaysia, sebelum ini.

Hup Wei akan mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Korat dua tahun lalu, selepas gagal melanjutkan penguasaan atlit Malaysia dalam acara itu yang bermula sejak 1977, apabila tewas pada temasya 2005 di Manila.

Pemenang emas kejohanan Terbuka Malaysia itu mencatat rekod peribadi terbaik tahun ini, 2.24 meter yang dilakukannya di Grand Prix Asia di China, kurang 0.02m daripada rekod kebangsaan miliknya.

“Segala persiapan sebelum ke Sukan Sea sudah dilakukan dengan baik daripada aspek fizikal dan mental, malah saya juga lega tiada masalah kecederaan yang membelenggu saya.

“Antara sasaran emas Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia datang dari saya. Oleh itu, saya perlu sentiasa bersedia dan yakin.

“Untuk cabaran di Laos, saya tidak begitu mengenali pencabar saya di Laos, tetapi percaya, peluang emas di sana cukup cerah,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih lompat tinggi negara, Jorge Luis Alfard berkata, anak didiknya itu kini bersedia sepenuhnya untuk menempuhi cabaran di Laos, malah cukup yakin dengan kemampuan Hup Wei dalam pencarian emas di sana.

“Latihan Hup Wei kini berada pada fasa akhir, tidak kira psikologi mahupun fizikal. Jadi, tiada sebarang masalah untuknya mencatat emas di sana,” kata jurulatih berasal dari Cuba itu.

Dalam acara lompat tinggi di Sukan Sea Laos, Hup Wei akan turut dicabar atlit pelapis kebangsaan, S Ravinraj yang pertama kali membawa cabaran negara di Sukan Sea. BHARIAN

No comments:

Post a Comment