Friday, December 4, 2009

Sekadar elak mangsa belasahan

Daripada Ahmad Khawari Isa di Vientiane, Laos


SEBAHAGIAN pemain wanita negara menjalani latihan di hari ketiga berada di Laos, semalam. Malaysia menentang Thailand di Stadium Universiti Nasional, hari ini.

JURANG terbentang di depan mata, nyata sukar untuk ditakluki. Lantas, ada sasaran lebih realistik mahu digapai skuad wanita negara sebaik turun membuka cabaran menentang juara bertahan, Thailand di Stadium Universiti Nasional Laos, hari ini.

Jurulatih, Zhang Yan, sedar betapa anak buahnya tiada upaya untuk menuruti jejak kejayaan 11-0 dilakar skuad lelaki, kelmarin. Malah misi di tangan berbeza haluan - penampilan kali ini lebih bermatlamat mengelak label selaku barisan belasahan.

"Paling penting, kami mahu buktikan kepada setiap lawan bahawa cabaran Malaysia tidak harus dipandang ringan. Kebanyakan pasukan anggap kami mudah ditumbangkan, jadi misi kali ini ialah menepis tanggapan itu.

"Kami tidak lagi mahu jadi pasukan belasahan, sebaliknya memburu rasa hormat daripada setiap lawan," kata jurulatih berkenaan.

Cuma seperkara diakui, Thailand dan Vietnam berada beberapa langkah di hadapan, ketika Myanmar dan Laos pula setahap di atas, biarpun skuad negara tetap mahu cuba mengejutkan mereka dalam saingan liga satu pusingan itu.

"Semua tahu Thailand adalah juara bertahan, jadi tahap mereka jauh lebih tinggi. Apa yang saya mahu ialah pemain memberikan segala yang mereka mampu. Tidak kurang daripada itu. Kerana jika mereka berjaya, sekurang-kurangnya matlamat mencari penghormatan itu akan tercapai," kata Zhang Yan.

Zhang Yan sebenarnya baru tiga minggu mengambil alih tugasan selaku ketua jurulatih skuad itu selepas pengendali sebelumnya, Zhang Nong berundur atas alasan kekeluargaan.

Selepas aksi menentang Thailand, Malaysia dijadual menentang Vietnam, Laos sebelum mengakhiri cabaran liga sepusingan dengan bertemu Myanmar. Dua pasukan teratas layak ke final untuk penentuan emas, ketika pasukan ketiga liga memenangi gangsa. BHARIAN

No comments:

Post a Comment