Friday, December 11, 2009

Rajagobal terjebak persiapan kelam kabut


HARI ini adalah penentuan hidup mati skuad negara. Hanya ada satu pilihan di tangan melakar kemenangan yang akan sekali gus menyingkirkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand, daripada pentas saingan kali ini.


Namun di sebalik dua hari dimiliki buat memantapkan pasukan, K Rajagobal jelas diganggu persiapan paling kelam kabut selepas menghantar penyerang, Zaquan Adha Abdul Radzak, pulang pagi tadi akibat sakit matanya yang belum sembuh.

Memang khidmat penggempur muda itu tidak boleh digunakan angkara penggantungan satu lagi perlawanan, tetapi itulah gambaran menghimpit jurulatih berkenaan ketika mengharap barisan penyerang ampuh buat meruntuhkan kekentalan benteng lawan.

"Ketiadaan Zaquan memang menyulitkan. Ketika ini, saya hanya ada Norshahrul (Idlan Talaha) dan (Abdul) Manaf Mamat. Ini jelas bukan persiapan terbaik ketika kami perlu menjaringkan gol dan menang ke atas Thailand," katanya.

Rajagobal enggan memandang ke belakang, tetapi jika itu pilihannya, kelibat Razali Umar Kandasamy, Farderin Kadir dan Khyril Muhymeen Zamri yang ditinggalkan, pasti wujud dalam pemikiran.

Razali diketepikan pada saat akhir selepas gagal melapor diri kembali ke kem latihan ketika Farderin dan Khyril masing-masing tersisih angkara kecederaan.

Ketika ini, apa diharapkannya ialah supaya pemain yang ada, bangkit menyahut cabaran buat melepasi ranjau penuh onak yang menanti.

"Saya tidak mahu mereka rasa gementar. Hormat boleh, tetapi jangan takut. Saya percaya mereka ada perwatakan kuat untuk menanganinya. Jika dapat menjelmakan apa yang mereka mampu, kemenangan bukan sesuatu yang mustahil."

Cuma, dilihat rekod pertemuan dengan Thailand pada pentas saingan serantau, kali terakhir kemenangan dicapai ialah pada 1989, ketika skuad negara mengungguli saingan di gelanggang sendiri. BHARIAN

No comments:

Post a Comment