Monday, December 14, 2009

Pingat emas lagi daripada terjun


JAGUH terjun negara (dari kiri) Pandelela, Mun Yee, Bryan dan Ken Nee bangga dengan pingat emas yang dimenangi.


VIENTIANE - Dua lagi pingat emas hadir dalam acara terjun pada Sukan SEA XXV di Pusat Renang, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Seperti dijangka, pingat emas pertama disumbangkan oleh gandingan Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama wanita selepas mengumpul keseluruhan 300.84 mata.

Pingat perak dan gangsa acara tersebut masing-masing diraih gandingan Indonesia (252.21) dan Thailand (225.42).

"Walaupun saya dan Pandelela diletakkan sebagai pilihan untuk meraih emas acara ini tetapi kami tidak memandang rendah keupayaan atlet lain.

"Saya dan Pandelela hanya mahu menampilkan terjunan terbaik seterusnya mengutip mata tertinggi.

"Kami gembira kerana prestasi kami hari ini (semalam) agak membanggakan," kata Mun Yee ketika ditemui semalam.

Pandelela menambah: "Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan terjunan yang saya lakukan hari ini (semalam).

"Lebih manis apabila sasaran saya meraih dua pingat emas di Laos sudah tercapai."


AKSI menarik daripada Bryan (kiri) dan Ken Nee ketika menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara semalam.


Pada Sukan SEA di Korat dua tahun lalu, saya hanya mampu membawa pulang satu pingat emas dalam acara 10m platform seirama," kata pener- jun kelahiran Sarawak itu.

Kelmarin, Pandelela meraih emas pertama pada temasya kali ini dalam acara 10m platform wanita.

Sementara itu, gandingan Yeoh Ken Nee dan Bryan Nickson Lomas menyumbang pingat emas kedua skuad terjun negara semalam menerusi acara 3m papan anjal seirama lelaki selepas mengumpul 406.32 mata.

Pingat perak milik gandingan Filipina (366.96) manakala duo Indonesia meraih gangsa dengan 336.69 mata.

"Saya akui ada sedikit kelemahan dalam terjunan kami tetapi itu tidak memberikan kesan besar untuk kami meraih pingat emas.

"Sekalipun kami masih baru berganding bersama tetapi ia tidak menjadi suatu masalah yang besar.

Pengalaman luas yang dimiliki Bryan membolehkan kami cepat menyesuaikan diri," kata Kee Nee yang sebelum ini bergandingan bersama Rossharisham Roslan.

Bagaimanapun, Rossharisham terpaksa diketepikan pada temasya di Laos kerana berehat selepas menjalani pembedahan di bahagian lutut.

No comments:

Post a Comment