Tuesday, December 15, 2009

Pemain sepak takraw negara kena 'libas'


HARAPAN skuad sepak takraw negara untuk melangkah ke perlawanan akhir acara regu musnah selepas disingkirkan oleh Laos semalam.


VIENTIANE - Skuad sepak takraw negara gagal mengulangi pencapaian merangkul pingat emas acara regu pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.

Sebaliknya, gandingan Noor Azman Abdul Hamid (tekong), Norshahruddin Mad Ghani (apit kanan) dan Mohd. Syafiq Rahman (apit kiri) manakala Muhd. Syazwan Husin (tekong) serta Mohd. Hamikhairi Muhd. Roslan (apit kanan) yang bertindak sebagai pemain simpanan hanya mampu menyumbang pingat gangsa.

Acara regu yang dilangsungkan mengikut format round robin dengan melibatkan lima pasukan, menyaksikan anak-anak buah Haris Abdul Rahman itu sekadar menduduki tempat ketiga, sekali gus gagal melayakkan diri ke peringkat akhir yang menemukan dua pasukan terbaik iaitu Thailand dan Laos.

Kekalahan mengejut 21-15, 17-21, 13-15 (tie-break) kepada Laos kelmarin dikatakan antara punca skuad negara gagal menjejakkan kaki ke pentas final, sekali gus gagal membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand.

"Saya akui kekalahan kepada Laos sebelum ini menyebabkan kita gagal mara ke final.

"Saya tidak menyalahkan pemain- pemain saya kerana mereka cukup bersemangat apabila diturunkan.

"Mungkin sudah tidak ada rezeki kami di Laos sehingga menyebabkan kami hanya mampu meraih pingat gangsa dalam acara regu, sekali gus menyebabkan kami gagal mengubati kekecewaan selepas meraih perak acara berpasukan lelaki.

"Secara keseluruhannya, saya masih berpuas hati dengan pencapaian pemain muda kita di Laos. Walaupun mereka baru kali pertama beraksi pada Sukan SEA tetapi semangat yang ditunjukkan wajar dipuji," kata pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Arshad Yahya ketika ditemui semalam.

Untuk rekod, Malaysia menik- mati emas acara regu ialah pada temasya 2005 menerusi gandingan Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 12 tahun sejak temasya 1993 di Singapura.

Semalam, skuad negara mengesahkan pingat gangsa menjadi milik mereka selepas menewaskan Vietnam 2-0 (21-10, 21-10) dan Filipina (21-9, 21-15) di Pusat Pameran Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa (ITECC).

Sebelum itu, hajat mereka untuk mengakhiri kemarau selama 18 tahun dengan meraih pingat emas dalam acara berpasukan lelaki tidak kesampaian apabila tumbang 0-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir. KOSMO

No comments:

Post a Comment