Monday, December 14, 2009

Noraseela tiada tandingan di Laos


NORASEELA (depan) meninggalkan jauh pencabarnya yang lain untuk menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara 400 meter lari berpagar wanita pada Sukan SEA XXV di Laos semalam.


VIENTIANE - Noraseela Khalid sanggup mengetepikan kesakitan tumit untuk merangkul pingat emas acara 400 meter lari berpagar wanita pada hari pertama acara olahraga temasya Sukan SEA XXV yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Difahamkan, Noraseela yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF) 2009 di China, Oktober lalu terpaksa mengambil ubat penahan sakit sebelum beraksi dalam acara kegemarannya itu.

Noraseela berjaya mencecah garisan penamat dengan catatan masa 56.99 saat untuk meninggalkan pencabar terdekatnya dari Thailand, Amornrat Winatho yang mencatat 58.00s, sementara atlet Vietnam, Nguyen Thi Nga di tempat ketiga dengan catatan 1:00.31s.

"Saya sendiri tidak menjangka boleh berlari laju dan mencatatkan masa yang agak baik. Sejak awal perlumbaan lagi, saya cuma mengekalkan rentak larian sehingga ke garisan penamat.

"Saya gembira kerana tidak menghadapi sebarang kesakitan sepanjang larian dan situasi itu membolehkan saya terus mendahului pencabar saya," kata Nora- seela ketika ditemui semalam.

Noraseela berkata, dia mampu memperbaiki catatan peribadi terbaiknya iaitu 56.67s jika rentak lariannya lebih pantas.

"Sudah tidak ada rezeki... tetapi saya tetap berpuas hati dan gembira dengan apa yang apa yang saya catat hari ini (semalam).

"Saya mahu berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Institut Sains Negara (ISN) kerana sentiasa membantu saya baik di luar mahupun di dalam trek," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berkata, semangat yang ditunjukkan Nora- seela harus dicontohi atlet olahraga negara yang lain.

"Noraseela telah membuktikan kepada kita bahawa dia sememangnya atlet yang harus dicontohi. Demi Malaysia, dia berjuang habis-habisan untuk menghadiahkan emas buat kita semua.

"Saya berharap akan lebih ramai lagi atlet olahraga negara mencontohi sikap Noraseela. Saya percaya kejayaan yang dicapai Noraseela mampu membangkitkan semangat buat atlet olahraga negara yang lain untuk menambah pungutan emas buat kontinjen Malaysia," kata Karim.

No comments:

Post a Comment