Tuesday, December 22, 2009

Najib, Muhyiddin turut ucap tahniah

DATUK Seri Najib Razak berharap kejayaan pasukan bola sepak negara akan menjadi detik perubahan kepada sukan popular ini dan bukan sekadar kejayaan bermusim.


Sambil menyatakan rasa gembira dengan kejayaan itu, Perdana Menteri mahu pasukan negara terus berusaha meningkatkan kedudukan mereka.

“Saya begitu gembira sebab kita sudah lama tunggu kejayaan ini. Tetapi saya berharap ia bukan kejayaan bermusim atau seketika saja.


“Saya mahu melihat perubahan ketara kepada pencapaian pasukan kita dalam kedudukan dunia.

“Gunalah kejayaan di Sukan Sea ini sebagai batu lonjatan ke arah kejayaan lebih baik pada masa akan datang," katanya di Copenhagen, Denmark ketika diminta mengulas kejayaan bersejarah skuad negara.

Perdana Menteri juga gembira dengan kejayaan kontijen negara meraih 40 pingat emas sehingga petang semalam berbanding sasaran hanya 35 emas.

“Ia satu pencapaian yang begitu baik...saya difahamkan masih ada beberapa acara lagi dan 40 emas itu bukan jumlah muktamad dan kita harap akan ada lagi.

“Kejayaan kita itu amat memberangsangkan dan kita ucap tahniah kepada atlit kita,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucap tahniah kepada pasukan negara yang berjaya memenangi pingat emas selepas menumpaskan Vietnam.

“Syukur alhamdulillah. Tahniah diucapkan kepada pasukan Malaysia yang menjadi juara Sukan Sea. Seluruh rakyat berbangga dengan kemenangan ini selepas musim kemarau yang panjang,” katanya semalam.

Beliau yang kini berada di Makkah berharap ia akan menjadi penyuntik semangat kepada pemain supaya pasukan negara akan terus konsisten dan cemerlang.

No comments:

Post a Comment