Tuesday, December 22, 2009

'Masuk ke padang, nikmati detik hebat ini'





BABAK pertama terikat tanpa jaringan. Apa yang dilakukan kesebelasan negara tampak lebih kepada melunturkan sebarang percaturan taktikal Vietnam.

Tetapi segalanya berubah pada babak kedua apabila dominasi dan ancaman ketara milik negara dalam laluan menang 1-0 dan meraih emas bola sepak temasya kali ini.

Lantas, apa rahsianya? Jurulatih, K Rajagobal berkongsi juga apa mesejnya kepada pemain, sebaik tamat upacara penyampaian hadiah di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, malam tadi.


"Saya katakan kepada pemain bahawa mereka sudah melakukan tugas yang baik pada 45 minit pertama. Vietnam langsung tidak berjaya memperolehi jaringan. Cuma, ada kekurangan yang perlu diperbaiki. Ketika itu, mereka kerap dan cepat hilang penguasaan bola. Peluang yang ada juga tidak dimanfaatkan.

"Saya tegaskan kepada penyerang-penyerang saya, jika mereka tidak agresif pada babak kedua, saya tidak akan teragak-agak mengeluarkan mereka, tidak kira siapa.

"Saya mahu mereka yakin dengan diri sendiri. Mereka sudah buktikan dengan kemaraan sejauh ini. Beraksi di final yang tiada siapa percaya pada mulanya. Jadi, jangan biarkan tekanan ataupun harapan tinggi mengganggu mereka lagi.

"Saya mahu mereka fikirkan bagaimana perasaannya nanti apabila dapat membawa balik emas. Lebih utama, saya mahu mereka masuk ke padang dan menikmati detik bersejarah buat mereka ini. Bermain, dan nikmatilah detik ini," katanya.

Ianya jelas menjadi kerana Vietnam yang sebelumnya berbangga dengan kelebihan psikologi selepas menang 3-1 di peringkat kumpulan, akhirnya akur dengan hakikat betapa malam tadi, kesebelasan negara adalah pemenang yang berhak.

Lawan itu kini pulang dengan kecewa dan dipaksa terus menanti - tanpa pernah sekalipun merasai nikmat dikalungkan pingat emas bola sepak Sukan Sea dalam sejarah penyertaan mereka.BH

No comments:

Post a Comment