Tuesday, December 22, 2009

'Kejayaan terbesar dalam hidup saya'



Aidil Zafuan

Saya bangga kerana berjaya melaksanakan tugas yang diberi dengan amat baik: Aidil Zafuan

"INI kejayaan terbesar dalam hidup saya. Inilah permulaan yang terbaik untuk kami."

Luahan itu adalah yang pertama diucapkan kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak, sebaik skuad negara menamatkan penantian emas selama 20 tahun untuk kembali mengungguli pentas saingan Sukan Sea.


Wajahnya jelas penuh kelegaan, terutama mengambil kira betapa hebatnya Aidil dan rakan seganding lain - Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Sabre Mat Abu dan Nasriq Baharom - diuji dengan serangan tanpa henti Vietnam, terutamanya pada babak pertama perlawanan.

"Memang kami jadi mangsa asakan yang ibarat tanpa henti pada babak pertama. Saya amat-amat bersyukur kerana kami berjaya bertahan dengan baik. Selepas gol itu, matlamat saya ialah memastikan kubu kami kekal tidak dibolosi.

"Terima kasih kepada semua rakan sepasukan. Kami sudah berusaha sebaik mungkin dan hadiah ini juga bukan untuk kami, tetapi juga kepada semua pihak yang memberikan sokongan. Juga kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Turut wajar diberi pujian ialah penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee, yang ibarat tembok tanpa ada ruang mampu ditembusi lawan.

Beberapa gerak aksinya menakjubkan, dengan layangan badan untuk menepis keluar cubaan ataupun bertindak berani keluar merebahkan diri dan merampas bola di kaki penyerang lawan.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih, K Rajagobal, kerana percaya kepada saya. Saya sentiasa ingat bahawa ini rezeki saya - untuk dapat awalnya terpilih dalam pasukan dan kemudiannya mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

"Saya bangga kerana berjaya melaksanakan tugas yang diberi dengan amat baik," katanya. BH

No comments:

Post a Comment