Friday, December 11, 2009

Kita perlu wakil Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea



MALAYSIA seharusnya memiliki wakil dalam Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea bagi mengelak salah faham terutama membabitkan jadual acara.

Langkah itu, menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mampu mengelak salah faham antara penganjur dan atlit sehingga boleh menjejaskan peluang atlit negara.

Sebelum ini, beberapa sukan seperti berbasikal dilaporkan hampir gagal menyenaraikan atlit mereka berikutan salah faham mengenai jadual dan penerbangan.

Dan ada juga sukan seperti sepak takraw yang tiba lewat dan selepas itu terus menyertai kejohanan tanpa memberi masa yang panjang kepada atlit untuk berehat dan menyesuaikan diri.

"Ada beberapa salah faham dengan penganjur menyebabkan perkara ini berlaku," katanya selepas melawat perkampungan sukan di Universiti Nasional Laos, semalam.

"Saya akan pastikan masalah seperti ini tidak berlaku lagi."

Katanya adalah satu keperluan memiliki wakil negara dalam jawatankuasa itu bagi memaklumkan jika terdapat sebarang perubahan jadual terhadap acara yang dijalankan.

Selain itu, katanya, tempoh kehadiran atlit boleh memberi kesan terhadap prestasi kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan kedaan tempat pertandingan.

"Bagi Sukan Olimpik, kita bersedia sebulan lebih awal, Sukan Sea juga kita boleh tentukan sama ada boleh menghantar atlit lebih awal atau tidak," katanya. BHARIAN

No comments:

Post a Comment