Monday, December 14, 2009

Kita lebur rekod 36 tahun Thailand


Oleh Raja Ahmad Zainuddin

SEHARI sebelum perlawanan bola sepak, Malaysia-Thailand di Sukan Sea Laos, saya ke udara dalam siaran langsung Radio 24. Saya dibanjiri pertanyaan dan kritikan pedas peminat ekoran kekalahan skuad negara kepada Vietnam.

Ramai yang tidak boleh terima kekalahan itu. Memburukkan lagi keadaan ialah tindakan tidak bersopan seorang pemain kebangsaan. Namun ada hikmah di sebalik kekalahan itu yang menyaksikan pemain negara menghidupkan peluang apabila menundukkan Thailand.

Tahniah kerana kemenangan ini bukan saja melayakkan Malaysia ke separuh akhir, malah meleburkan rekod 36 tahun Thailand di separuh akhir. Gol Ahmad Fakri Saarani menjadi pemusnah impian negara jiran itu ketika mereka hanya mahukan keputusan seri.

Peluang negara ke final dan meraih emas masih terbuka dan kali terakhir kita muncul juara di Sukan Sea adalah 20 tahun lalu. Begitupun laluan negara tidak mudah kerana menanti di separuh akhir adalah tuan rumah Laos yang menjuarai Kumpulan B.

Bukan mudah untuk menjinakkan Thailand kerana Vientiane bagaikan `tuan rumah’ kepada negara itu selain dipimpin oleh Steve Darby yang berpengalaman luas di Asia Tenggara termasuk pernah melatih Perak.

Namun, seperti kata jurulatih skuad kebangsaan K Rajagobal, soal penting adalah semangat dan ketenangan pemain yang mampu beraksi di bawah tekanan selepas ketinggalan 0-1, menjadi sandaran terbaik kepada Malaysia.

Hakikatnya, dengan kemenangan itu, ranking Malaysia akan lebih baik. Kejutan besar yang membolehkan Malaysia bermain pada peringkat separuh akhir hari ini akan membuka mata sesetengah pihak yang langsung tidak memberikan harapan kepada bola sepak negara.

No comments:

Post a Comment