Friday, December 11, 2009

Karate-do tuai awal 3 perak, 1 gangsa


SKUAD karate-do lelaki dan wanita negara hanya mampu meraih pingat perak dalam acara Kata di Gimnasium Chao Anuvong, Laos semalam.


VIENTIANE, Laos - Skuad karate-do negara sekadar mampu menyumbang tiga pingat perak dan satu gangsa pada hari pertama acara itu dilangsungkan di Gimnasium Chao Anuvong semalam.

Pingat perak disumbangkan oleh Tan Chee Seng dalam kategori Kata individu lelaki manakala dua lagi pingat perak diperoleh bagi saingan Kata berpasukan lelaki dan wanita.

Lim Lee Lee pula meraih pingat gangsa dalam kategori Kata individu wanita.

Skuad Kata lelaki negara dibarisi Chee Seng, Kam Kah Sam dan Vicky Leong manakala skuad Kata wanita negara diwakili Lee Lee, Thoe Ai Poh dan Chong Chew Teng.

"Perasaan saya ketika ini bercampur- campur, gembira dan sedih. Saya gembira kerana dapat meraih pingat perak walaupun ini kali pertama beraksi dalam kategori individu. Sedihnya pula disebabkan saya gagal meraih pingat emas.

"Secara keseluruhannya, saya masih berpuas hati dengan pencapaian saya hari ini (semalam). Walaupun sekadar meraih dua pingat perak tetapi itu sudah cukup bermakna bagi saya," kata Chee Seng ketika ditemui semalam.

Menurut Chee Seng, atlet Indonesia, Faizal Zainuddin sememangnya layak untuk merangkul pingat emas bagi kategori tersebut.

"Saya tiada sebarang rungutan atau bantahan. Dia (Faizal) telah membuktikan kemampuannya dan saya rasa dia berhak meraih pingat emas," jelas Chee Seng yang membuat penampilan dalam kategori Kata berpasukan pada dua temasya Sukan SEA sebelum ini.

Sementara itu, Lee Lee berkata, dia sudah berusaha untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik walaupun tidak diletakkan sebarang harapan untuk merangkul pingat emas.

"Apabila turun ke gelanggang, saya tidak langsung rasa tertekan. Saya hanya fokus untuk memberi- kan persembahan yang mampu memikat pihak juri," katanya. KOSMO

No comments:

Post a Comment